Labuan Boleh Jadi Singapura Kedua – CEO LC

Labuan.jpg

Foto hiasan

Kongsi Bersama

LABUAN: Pulau bebas cukai, Labuan berpotensi menjadi Singapura kedua melalui perniagaan antarabangsa dengan sektor kewangan, industri minyak dan gas serta maritim yang berkembang pesat.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (LC) Rithuan Ismail berkata kedudukan geografi Labuan yang menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan negara Asean lain akan menjadi kelebihan bagi pulau tersebut memberikan perkhidmatan sebagai destinasi ekonomi berdaya maju serantau pada masa hadapan.

“Perusahaan asing boleh menggunakan Labuan sebagai hab untuk menembusi pasaran antarabangsa dan mengembangkan perniagaan mereka memandangkan lokasinya yang strategik dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA),” katanya pada majlis pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan peringkat Labuan di sini semalam.

Labuan, sebagai pelabuhan bebas, mempunyai dasar mesra perniagaan untuk melonjakkan pertumbuhan ekonominya.

Rithuan berkata Malaysia menyedari transformasi Labuan daripada hanya sebagai pulau bebas cukai, yang mana, kini menjadi syurga cukai, sebagai pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Malaysia (IBFC) serta sektor minyak dan gas, selepas dinaikkan menjadi wilayah persekutuan bersama Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 1984.

“Tetapi sebelum ia menjadi Singapura seterusnya, sebaiknya perlu diperhatikan ciri-ciri yang menyokong kejayaan negara kota itu,” katanya.

Perniagaan Labuan perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menjadikan wilayah itu sebagai destinasi ekonomi yang menarik bagi pelaburan domestik dan asing.

“Untuk memajukan Labuan ke hadapan, kita semua mesti mengubah pemikiran kita… Ini kerana pemikiran adalah penting dalam semua usaha bagi membangunkan pulau Labuan kerana ia memberi kita arah bagaimana untuk mendekati isu-isu dan cabaran.

“Faktor paling penting untuk menjadi Singapura kedua adalah kemampuan memiliki sistem pemerintahan yang sangat cekap, dinamik dan telus serta mampu memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Rithuan berkata Labuan akan menyelesaikan pelbagai isu yang menghalangnya daripada menjadi wilayah persekutuan yang maju.

Sementara itu, beliau berkata fokus sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini adalah ke arah mementingkan kesejahteraan dan kebajikan warga Wilayah Persekutuan itu.

–BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top