KUSKOP peruntuk RM100,000 untuk Koperasi Kumpulan Walit Kanibongan

ewon-1.jpg

Kredit foto: FB Ewon Benedick Official Media

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada Koperasi Kumpulan Walit Kanibongan untuk membina sebuah pusat pemprosesan sarang burung walit di Kampung Sinukab Kanibongan, Pitas.

Ewon berharap peruntukan yang disalurkan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), juga merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu dapat membantu koperasi tersebut dan ahli-ahlinya meningkatkan pendapatan mereka.

“Saya percaya perusahaan sarang burung walit ini boleh memberikan pendapatan kepada ahli-ahli koperasi sekiranya diusahakan dan diurus dengan baik,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke tempat pemprosesan sarang burung walit milik koperasi itu yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda, Pengarah SKM Sabah Matias Kundapin dan pemimpin masyarakat setempat.

Sementara itu Pengerusi Koperasi Kumpulan Walit Kanibongan Rosli Sulampung merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas pengumuman peruntukan RM100,000 untuk koperasi itu membina sebuah kilang memproses sarang burung walit.

“Bagi pihak pengurusan koperasi saya amat berbesar hati dan bersuka cita. Ini amat bermakna bagi kami untuk terus memajukan koperasi dan membantu meningkatkan pendapatan ahli koperasi seramai 145 orang,” katanya.

Sebelum itu Ewon diberikan taklimat ringkas mengenai industri burung walit di Sabah khususnya di Kanibongan oleh Ketua Unit Walit dan Aneka Ternakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah Jobit Sulangi.

Jobit berkata harga sarang burung walit amat lumayan dengan kategori Sarang Mangkuk pada harga RM3,700 sekilogram, Patahan Besar (RM2,900), dan Kaki Sarang (RM1,900).

Dalam lawatannya ke Pitasn itu Ewon turut mengadakan kunjungan ke Asrama Avasi Kanibongan dan seterusnya merasmikan Program Memperkasa Belia dan Mensejahterakan Keluarga melalui ceramah keusahawanan daripada agensi-agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Program itu dianjurkan oleh Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Koperasi Keluarga Mailin Masipin Kanibongan Berhad di Dewan Futsal Kampung Pantai Kanibongan.

Sumber: BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top