KUSKOP akan perkenal skim khas bantu usahawan Sabah, Sarawak – Ewon

ewon-1.jpg

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memperkenalkan skim baharu khas untuk usahawan Sabah dan Sarawak.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, Skim Geran Usahawan Orang Asal Sabah dan Sarawak itu bertujuan memperkasakan usahawan-usahawan di kedua-dua negeri itu.

“Ini juga selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan harus ada tumpuan khusus kepada masyarakat Melayu dan juga masyarakat anak negeri di Sabah dan Sarawak.

“Saya ambil itu sebagai satu punca kuasa untuk saya perkenalksn skim membantu usahawan di Sabah dan Sarawak.

“Kita mulakan dengan mewujudkan satu kuota daripada RM100 juta tambahan peruntukan yang telah diluluskan dan disalurkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kepada SME corp,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pemerkasaan Ekonomi Anggota Jemaah SIB, di Wisma SIB Sabah, di sini, pada Sabtu.

Ewon berkata, skim baharu itu dijangka akan dilancarkan oleh Premier Sarawak, hujung September ini, di Kuching.

“Saya berharap dengan adanya skim ini akan membantu mengangkat potensi dan peluang-peluang usahawan di kalangan masyakat orang asal mendapatkan pembiayaan,” katanya.

Beliau berkata, skim itu diperkenalkan bagi memberi sokongan kepada usahawan orang asal Sabah dan Sarawak yang masih berhadapan dengan pelbagai cabaran.

“Ini termasuk logistik, capaian internet, pasaran dan kos pengangkutan antara Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mengenai 35 cadangan inisiatif-inisiatif baharu KUSKOP bagi belanjawan 2024, Ewon berkata, ia meliputi keperluan semua usahawan di negara ini termasuk pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan mengambil kira cabaran selepas pasca Covid-19.

“Ini merupakan bajet pertama kerajaan perpaduan dan perlu ada inisiatif-inisiatif baharu.

“Daripada kesemua cadangan inisiatif baharu itu, saya mengatakan semuanya adalah keutamaan kementerian dan rakyat yang perlu disampaikan oleh kerajaan.

“Tetapi kita juga harus realistik dengan cabaran kewangan negara. Kita perlu ambil kira jumlah hutang yang begitu besar yang perlu kerajaan lunaskan terlebih dahulu, sebab itu, mungkin tidak semua dapat dimasukkan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak adalah keutamaannya disamping meneruskan inisiatif-inisiatif sedia ada kementerian di seluruh negara.

Mengenai konvensyen iru, Ewon berharap para peserta dapat merebut peluang-peluang dan kemudahan yang disediakan kerajaan bagi mengembangkan lagi aktiviti keusahawanan mereka. – Nabalu News

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top