RANAU: Penglibatan penduduk luar bandar dalam kursus di peringkat kampung antara usaha yang mampu meningkatkan taraf hidup rakyat.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, kerjasama pihak swasta dan kerajaan dalam menganjurkan kursus untuk menambah pengetahuan dan kemahiran masyarakat di luar bandar perlu dipuji.
Katanya, usaha sedemikian adalah inisiatif berterusan kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan rakyat, khususnya di kawasan Kundasang.
“Belanjawan 2025 yang baru-baru ini dibentangkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun turut memberi fokus kepada pelbagai bantuan khas yang akan disalurkan kepada rakyat pada tahun hadapan.
“Bagaimanapun, hanya mereka yang memenuhi syarat tertentu sahaja yang layak menerima bantuan ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Mesin Soya di Dewan Kampung Langsat dekat sini pada Selasa.
Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut menggalakkan penduduk di kawasan Langsat untuk terus berusaha meningkatkan taraf ekonomi keluarga masing-masing.
Beliau menyarankan penduduk yang berminat dengan penggunaan mesin memproses soya boleh menghubungi pihak Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) atau Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kundasang untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Joachim turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran kursus berkenaan termasuk tenaga pengajar dari Pusat Latihan SNS Enterprise, Siti Noraida Michael Abdullah, DIDR Sabah di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE), yang menyediakan mesin memproses soya.
Kursus Memproses Tauhu dan Air Soya berlangsung selama dua hari disertai oleh 30 peserta terdiri daripada suri rumah dan ibu tunggal dalam kategori B40.
Dalam program berlainan, Joachim turut menghadiri Majlis Makan Tengah Hari bersama Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia cawangan Daerah Ranau di Kampung Liwagu, selain melakukan lawatan ke Kampung Pinolobu dan Kampung Kinasaraban. – Utusan Borneo