Kurniawan Senaraikan Beberapa Taktikal Untuk Sabah FC Berdepan Kedah

bola-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua jurulatih Sabah Football Club (FC) Kurniawan Dwi Yulianto berkata, beliau menyenaraikan beberapa taktikal yang bakal digunakan untuk berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Liga Super, di Stadium Likas, malam ini.

Katanya, beliau bersama barisan jurulatih lain serta pemain sudah melakukan analisa terhadap beberapa video perlawanan membabitkan skuad Kedah dan berharap segala yang dirancang akan terlaksana di atas padang nanti.

“Kita tidak akan membuat banyak perubahan terhadap taktikal kami tetapi kami telah mencatat beberapa perkara hasil analisa video perlawanan membabitkan lawan.

“Saya harap apa yang kami rancang akan dapat dilaksanakan pemain, kita tahu lawan pasukan yang kuat tetapi seperti sebelum ini, semua pasukan juga kami anggap kuat dan siapa pun kami jumpa, kami akan lawan habis-habisan,” katanya sebagaimana dilaporkan MyMetro.

Kurniawan berkata, beliau masih belum membuat keputusan muktamad terhadap kesebelasan utamanya namun, katanya, hanya pemain yang benar-benar cergas dan bersedia yang akan diturunkan.

“Seperti yang sering saya katakan sebelum ini, tiada pemain yang dijamin tempatnya dalam kesebelasan utama kerana kita hanya mahu pemain yang benar-benar bersedia dan cergas untuk diturunkan.

“Setakat ini, persiapan kami berjalan lancar dengan kesemua pemain bersedia untuk diturunkan kecuali tiga pemain iaitu Hamran Peter, Ariusdius Jais dan N Thanabalan yang masih dalam proses pemulihan,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (Safa), Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin Sabah FC boleh terus mencatat kemenangan sekiranya pemain konsisten dengan corak permainan mereka sekarang.

Katanya, corak permainan yang ditunjukkan dalam dua perlawanan di Likas, baru-baru ini, tampak meyakinkan dan tidak mustahil KDA adalah mangsa seterusnya walaupun pasukan itu boleh dikatakan antara yang terbaik dalam Liga Super ketika ini.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top