Kunjungan Hormat Timbalan KPN Ke ESSCOM

esscom-2.jpg
Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Pejabat ESSCOM di sini. hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Mazlan yang tiba di perkarangan pejabat ESSCOM tepat jam 9 pagi, telah diiringi dan disambut oleh Komander ESSCOM DCP Datuk Ahmad Fuad Othman dan pegawai-pegawai kanan ESSCOM yang lain.

Beliau kemudiannya diperkenalkan kepada barisan pegawai-pegawai kanan ESSCOM yang terdiri daripada ketua-ketua staf keselamatan yang terdiri daripada pelbagai elemen keselamatan seperti ATM, PDRM dan APMM.

Mazlan seterusnya diberikan taklimat mengenai hala tuju dan pengoperasian ESSCOM di kawasan timur Sabah yang telah disampaikan sendiri oleh Ahmad Fuad bertempat di ESSCOM Fushion Centre (EFC).

Dalam sidang medianya, Mazlan menyeru semua penduduk Sabah khususnya komuniti yang tinggal di kawasan pesisir pantai timur Sabah supaya tidak gusar dan bimbang dalam soal keselamatan kerana menurutnya keadaan keselamatan di kawasan timur Sabah adalah tenang dan terkawal.

ESSCOM dengan sokongan pasukan keselamatan yang lain seperti ATM, Briged PGA Sabah, IPK Sabah sentiasa siap siaga dalam menjaga keselamatan di kawasan timur Sabah ini.

Menurutnya lagi, kesemua operasi-operasi keselamatan yang diselaraskan oleh ESSCOM yang melibatkan pelbagai agensi keselamatan ini berjalan lancar dan operasi-operasi bersepadu ini lebih tertumpu kepada operasi pencegahan memerangi lanun-lanun, penculikan, kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan juga ancaman daripada penganas yang datang dari laut.

Selain itu, pihak ESSCOM juga sentiasa mendapat kerjasama yang baik dalam soal keselamatan daripada negara jiran seperti Filipina dan Indonesia untuk meningkatkan keberkesanan operasi melalui pelaksanaan operasi secara bersama iaitu melalui Trilateral Cooperation Agreement (TCA).

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar sentiasa memberikan kerjasama kepada pasukan keselamatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak ESSCOM supaya tindakan pencegahan dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam usaha untuk menghapuskan sebarang bentuk ancaman keselamatan yang cuba bertapak di kawasan pantai timur Sabah.

Menurutnya lagi, tanpa maklumat dan kerjasama orang ramai, amat sukar bagi pasukan keselamatan untuk melaksanakan tindakan yang sewajarnya dalam menjaga keselamatan pantai timur Sabah.

Turut mengiringi lawatan tersebut Pengarah KDNKA PDRM Bukit Aman CP Dato’ Hazani Ghazali, Pesuruhjaya Polis Sabah CP Dato’ Idris Abdullah, Ketua Urusetia KPN (Perundangan) SAC Ahmad Dzaffir Mohd Yussof,  Komander Briged Sabah SAC Abdul Rani Alias dan Ketua Cawangan Khas Sabah.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top