KOTA KINABALU : Kumpulan Yayasan Sabah melalui Pusat Kraftangan Sabah (PKS) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dalam memastikan bekalan rantaian bahan mentah yang mampan sempena Program Penanaman Bahan Mentah (2023-2026) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Isnin.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir.
Menandatangani bagi pihak Kumpulan Yayasan Sabah ialah Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd., Dato’ Sri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar dan disaksikan oleh Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Hanafiah Diman, manakala MTIB diwakili oleh Ketua Pengarah, Kamaruzaman Othman dan disaksikan oleh Pengarah Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC), Farydatul Nazly Mohd. Zin.
Datuk Abidin berkata, program anjuran PKS di bawah Program Khas Anak Negeri Sabah (PKAN) akan mengurangkan permintaan terhadap hutan asli kita sebagai sumber bahan mentah, memastikan daya maju jangka panjang bahan mentah seperti buluh dan rotan, yang merupakan komoditi penting dalam industri kraftangan.
“Program penanaman akan dijalankan di kawasan Konsesi Yayasan Sabah dengan penglibatan masyarakat setempat,” katanya semasa berucap pada majlis itu.
Menurut Abidin, Kumpulan Yayasan Sabah telah menjalin hubungan kerjasama dengan agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi seperti Jabatan Perhutanan Sabah,
Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Jabatan Pertanian Sabah dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Cawangan Sabah) untuk menyediakan kepakaran dan khidmat nasihat strategik bernilai tinggi bagi memastikan keberkesanan program tersebut.
“MTIB akan menyediakan perundingan teknikal mengenai pemilihan spesies, teknik penanaman, pembajaan dan rawatan; menjalankan kajian dan penyelidikan mengenai bahan, produk, mesin dan peralatan; dan memberi pengiktirafan kepada peserta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 berdasarkan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT),” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, limpahan sumber asli Sabah mesti digunakan secara mampan untuk menjana pendapatan dan pertumbuhan ekonomi negeri dalam sektor perindustrian.
“Justeru, program ini dijangka dapat memperkukuh pertumbuhan ekonomi, mengembangkan sektor huluan dan hiliran serta menghasilkan bahan eksport yang ketara yang mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara kita.
“Kumpulan Yayasan Sabah akan terus mempelbagaikan usahanya untuk membangunkan inisiatif yang mampan demi memperkasakan pengusaha industri kayu tempatan kita,” katanya. – Sabah Media