Kumpulan Yayasan Sabah fokus pembangunan modal insan

asrama-kys.jpg

Ketua Pengarah ICU Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (tiga kiri) menyerahkan replika kunci asrama kepada Ghulamhaidar sambil disaksikan oleh Jeffrey (empat kiri): Kredit foto: Jeffrey G. Kitingan Page

Kongsi Bersama

KENINGAU: Kumpulan Yayasan Sabah akan terus memberi fokus kepada pembangunan modal insan bagi membawa perubahan kepada masyarakat luar bandar.

Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Ghulamhaidar Khan Bahadar berkata, program-program yang diwujudkan oleh pihaknya adalah berpaksikan kepada Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Pelan SMJ, hasil inisiatif Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, antara lain menekankan keperluan untuk meningkatkan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

“Atas komitmen ini, Kumpulan Yayasan Sabah akan terus menyokong agenda pembangunan SMJ dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negeri yang progresif dan berjaya,” katanya pada Majlis Perasmian Asrama Pusat Kraftangan Sabah (PKS) di Keningau di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan.

Ghulamhaidar berkata, pihaknya melalui PKS telah melaksanakan pelbagai program untuk membantu masyarakat menjana pendapatan melalui pembuatan kraf tangan.

“Ini bertujuan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia di Sabah dan mengurangkan kemiskinan.

“Dengan sokongan padu daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dalam pembiayaan dana program sejak 2012, PKS memberi fokus kepada Pembangunan Modal Insan dalam bidang kraf tangan,” katanya.

Menurutnya, bermula 2021 PKS telah mengorak langkah ke hadapan dengan penjenamaan semula program yang dijalankan iaitu program Rural Integrated Craft Heritage (RICH).

Katanya, program RICH memberi fokus kepada pembangunan dan pemantapan keusahawanan para pesertanya.

“Menerusi program ini, para usahawan kraf tangan akan lebih mampan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran industri kraf tangan,” katanya.

Katanya, sejak 2011 sehingga 2023, hampir 22,000 orang berjaya mendapat latihan di PKS dalam pelbagai bidang kraf tangan seperti batik, rotan, buluh, perkayuan dan sebagainya.

Menurutnya, PKS juga bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi seperti Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustian Malaysia (SIRIM), bagi mendapatkan khidmat nasihat pakar serta kemahiran dalam teknologi bidang-bidang tertentu.

Katanya, menerusi Program Latihan Kraftangan dan Program RICH, PKS telah menyediakan platform kerjaya kepada bekas pesertanya.

“Terdapat bekas peserta yang kini menjadi tenaga pengajar dalam bidang kraf tangan, tidak kurang juga yang menjadi usahawan kraf.

“Ada juga bekas peserta kita yang melanjutkan pelajaran di Institut Kraf Negara di Rawang, Selangor.

“Inilah pulangan yang ingin kita lihat di mana masyarakat kita berdikari dan berjaya keluar daripada kekangan ekonomi masing-masing,” katanya.

Pada tahun ini katanya, PKS memperkenalkan satu lagi program baharu iaitu Program Penanaman Bahan Mentah yang akan memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar.

Katanya, program itu melibatkan penanaman bahan mentah rotan dan buluh di kawasan tanah konsesi Yayasan Sabah, seluas 200 ekar.

“Inisiatif ini dijangka akan menjadi rantaian ekonomi yang berterusan dalam industri kraf tangan, di samping menjamin kemampanan sumber bahan mentah berkenaan.

“Apa yang jelas, program anjuran PKS berjaya menarik minat ramai belia-beliawanis seluruh Sabah sejak ia mula beroperasi pada 2012.

“Maka dengan mengambil kira kebajikan para peserta dan penjimatan kos menyewa jangka panjang, tercetuslah idea untuk mendirikan asrama bagi menempatkan para peserta PKS,” katanya.

Untuk rekod, asrama tiga tingkat itu mempunyai dua blok lelaki dan wanita yang mampu menempatkan seramai 200 orang penghuni dalam satu-satu masa.

Setiap blok asrama dilengkapi dengan 23 bilik dengan kemudahan surau, ruang dobi serta pantri.

Asrama turut dilengkapi dengan tandas dan bilik mandi Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi memudahkan golongan itu menggunakan fasiliti yang ada.

Pembinaan asrama ini yang menelan kos sebanyak RM17.67 juta adalah melalui pembiayaan ICU Jabatan Perdana Menteri.

Pembinaannya bermula pada 6 Mei 2021 dan berjaya disiapkan mengikut jadual dalam tempoh 24 bulan pada 3 Mei 2023. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top