Kumpulan Taiwan Rancang Labur RM1 Bilion Di Pulau Mengalum

Pulau-Mengalum.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyambut baik rancangan seorang pelabur dari Taiwan untuk membina sebuah resort eko-pelancongan bertaraf 5 bintang yang mewah di Pulau Mengalum, yang dianggarkan kos keseluruhan lebih RM1 bilion.

“Pelancongan sangat penting bagi Sabah dan sebab itulah sektor ini dikenal pasti sebagai salah satu daripada tiga teras utama dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Dalam pertemuan dengan Sinyi Realty Group di Menara Kinabalu dekat sini kelmarin, Hajiji meluahkan rasa gembira kerana syarikat hartanah terbesar Taiwan memilih Sabah untuk pelaburan mereka.

“Sabah adalah salah satu negeri paling cantik di Malaysia dan banyak yang kami tawarkan daripada aspek pelaburan dalam sektor pelancongan,” katanya.

Sejajar dengan SMJ, Hajiji memberi jaminan kepada Kumpulan Sinyi bahawa Kerajaan Negeri akan memberi bantuan yang diperlukan untuk memudahkan pelaburan mereka di negeri ini.

Terdahulu, Ketua Kumpulan Sinyi, Chou Chun Chi merakamkan terima kasih kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri atas sokongan terhadap usaha itu dan mengatakan pembangunan di Pulau Mengalum akan menarik pasaran pelancongan serba mewah.

“Ia akan menyediakan kira-kira 2,400 peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan diharapkan dapat membawa 97,000 pelancong ke Sabah setiap tahun,” katanya.

Turut mengiringi Chou dalam kunjungan hormat kepada Hajiji ialah Naib Pengerusi Kumpulan Sinyi, Chou Wang Mei Wen; Pengurus Besar; Chow Kok Yein; Pengurus Kanan Tann Chung Yong dan Pengurus Projek, Chou Chun Hao.

Setelah memperolehi lebih daripada separuh pulau dengan harga RM266 juta pada tahun 2019, Kumpulan Sinyi merancang untuk memulihkan bahagian pulau yang tandus dengan penghutanan semula dan juga memulihkan terumbu karang di sekitarnya yang rosak akibat penggunaan bom ikan.

Pulau Mengalum sebelum ini pernah menjadi pusat kuarantin ternakan sehingga tahun 1997.

Sebelum penularan pandemik Covid-19, pulau itu, yang terletak lebih sejam perjalanan dengan bot dari ibu negeri, amat popular dalam kalangan pelancong China.

Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah.

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top