Kumpulan See Hua Daily News menang tiga hadiah utama KPA 2023

kinabalu-press-award.jpg

MENANG: Maria merakamkan gambar kenangan bersama dua hadiah yang dimenangi dalam Majlis KPA 2023 di sini.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kumpulan See Hua Daily News berjaya menang tiga hadiah utama bagi kategori Anugerah Kewartawanan dalam Majlis Kinabalu Press Awards (KPA) 2023 yang diadakan di sini malam Sabtu lalu.

Yvonne Ho Yin Yin dari See Hua Daily News memenangi dua kategori utama bagi Anugerah Kewartawanan Hiburan, Budaya dan Seni untuk Bahasa Cina bagi laporan Followers charmed by an optimistic funny Sabahan YouTuber “Soya Plan” serta Anugerah Kewartawanan Sukan bagi laporan Be a mermaid and make waves, armless teenager realising her dreams to swimyang masing-masing menawarkan hadiah RM1,500 dan RM2,500.

Wartawan The Borneo Post Mariah Airiens Doksil pula memenangi hadiah utama bagi Anugerah Kewartawanan Perniagaan dan Ekonomi untuk Bahasa Inggeris menerusi laporan GM Klang, wholesale paradise for entrepreneurs yang membawa pulang hadiah bernilai RM2,500.

Beberapa wartawan Kumpulan See Hua Daily news yang turut memenangi hadiah merit dalam anugerah sama ialah wartawan Utusan Borneo Siti Aisyah Narudin bagi kategori Anugerah Kewartawanan Perniagaan dan Ekonomi untuk laporan MOF terus sokong pembangunan Sabah yang utamakan rakyatnya: Potensi Sabah sebagai hab ekonomi serantau BIMP-EAGA terus diperkasa.

Wartawan Utusan Borneo Hamzah Sanudin bagi kategori Anugerah Kewartawanan Alam Sekitar menerusi laporan ‘Khazanah hutan paya bakau perlu dijaga bersama’ dan Yong Ted Phen serta Tseu Kui Jin@Tseu Kui Yin dari See Hua Daily News bagi kategori Anugerah Kewartawanan Laporan Berita (Bukan Rencana) untuk laporan Two-part story on road closures and power cut to deliver mammoth storage tanks from Sepanggar Port to SK Nexilis’ copper foil plant in KKIP bagi Kategori Bahasa Cina.

Mariah juga menang merit bagi laporan Pupils in rural Nabawan use bamboo raft, zipline to get to school dalam Anugerah Kewartawanan Laporan Berita (Bukan Rencana) manakala Elton Aaron Gomes dari akhbar sama turut menang merit menerusi laporannya, Showcase of Japanese martial arts in Sabah, Martial art training not only for selfdefence untuk Kategori Anugerah Kewartawanan Laporan Sukan.

Seorang lagi wartawan See Hua Daily News, Sim Kain Yun juga menang merit bagi kategori utama Anugerah Kewartawanan Bahasa Cina menerusi laporan The early life story of Hakka in Kudat.

Sementara itu, kategori utama Anugerah Kewartawanan dimenangi oleh Suraidah Roslan daripada Utusan Malaysia dan dua lagi merit dimenangi oleh Rohana Nasrah serta Fadzli Ramli masing-masing daripada Bernama.

Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar semasa berucap pada majlis KPA berkata media arus perdana kekal relevan dalam landskap perjuangan media selepas era pasca pandemik.

“Penting untuk pengamal media dan kerajaan saling bekerjasama membantu untuk memastikan media arus perdana terus memainkan peranan penting dalam memberi laporan yang adil dan seimbang dalam kecenderungan masyarakat yang seolah-olah hanya mendapatkan maklumat daripada media sosial berbanding media arus perdana sejak kebelakangan ini.

“Bertepatan tema ‘Kemajuan melalui perkongsian bestari’ saya percaya hubungan kukuh antara media dan kerajaan adalah penting berikutan kebergantungan kerajaan kepada media massa untuk berkomunikasi dengan rakyat dan peranan media memastikan rakyat menerima maklumat yang betul dan tepat.

“Maklumat ini akan membantu kerajaan dalam meyakinkan rakyat tentang hala tuju dari segi dasar dan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata SJA menyokong penuh usaha kerajaan perpaduan dalam menubuhkan Majlis Media Malaysia dan berharap ia akan mengukuhkan media di Malaysia melalui kawal selia kendiri dan pelaporan dengan tepat secara bertanggungjawab, beretika dan adil.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Pemegang Amanah SJA dan Mantan President SJA, Datuk Joniston Bangkuai.

Hadir sama Pengurus Besar Kanan, Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Datin Anita Azrina Abdul Aziz; Pengerusi dan Naib Presiden Kanan Perniagaan Huluan, Shell Malaysia, Siti Hurrairah Sulaiman; Pengarah Qhazanah Sabah Berhad, Datuk Dr Johnson Tee dan Pengarah Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Lucy Irene Yong serta editor dan pengamal media di Sabah.

Mugutan berkata penganjuran Majlis KPA tahun ini adalah istimewa kerana dihadiri sendiri oleh Fahmi dan beliau sempat berterima kasih dengan kehadiran serta pemberian insentif Rebat RAHMAH Pengamal Media untuk rebat bil telefon pelan pascabayar secara sekali beri bagi bil September 2023.

Beliau juga berterima kasih dengan sokongan berterusan daripada Hajiji serta Petronas, Shell Malaysia, Qhazanah, Sawit Kinabalu dan pelbagai penaja lain yang membantu menjayakan penganjuran Majlis KPA seperti tahun sebelumnya.

Bercakap lanjut Mugutan berkata pentadbiran Hajiji juga memperlihatkan peranan media di Sabah tanpa gangguan dalam melaporkan isu dan dasar kerajaan secara bebas walaupun ia mungkin tidak dilihat positif untuk kerajaan.

“Ini penting bagi rakyat yang perlu mendapatkan pandangan adil dan objektif mengenai pelbagai dasar dan isu negeri hari ini, perbincangan awam yang sihat seperti ini adalah baik untuk mana-mana negara demokrasi,” katanya.

Dalam pada itu beliau mengumumkan SJA kini mempunyai pejabat sendiri yang diperoleh dengan kos sebanyak RM360,000 dan akan digunakan untuk menjalankan aktiviti serta pusat media di Sabah.

“Mungkin ada pertanyaan berkenaan sebidang tanah di Bukit Keramat dan kita sedang dalam perancangan untuk membina rumah untuk kelab wartawan, perkara ini juga sudah diutarakan kepada Hajiji untuk meminta bantuan yang sesuai pada awal tahun ini.

“Kita mendapat maklum balas yang positif dan perancangan itu akan ditentukan oleh perbincangan ahli SJA selepas ini,” katanya.

Katanya majlis KPA adalah untuk meraikan kecemerlangan kewartawanan dari segi media cetak mahupun media elektronik dan pihaknya menerima 313 penyertaan tahun ini untuk 23 kategori anugerah dalam kewartawanan cetak dan elektronik yang menawarkan hadiah wang tunai lebih RM100,000 dengan kesemua penilaian dibuat melalui Institut Akhbar Malaysia (MPI). – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top