Kukuhkan Perpaduan Dengan Aktiviti Bersama

shahelmey.jpeg

Shahelmey menyampaikan hadiah kepada salah satu pemenang aktiviti mewarna.

Kongsi Bersama

PENAMPANG: Semangat kejiranan dan aktiviti-aktiviti yang diadakan secara bersama di kalangan komuniti akan dapat meningkatkan kemuafakatan dan mengukuhkan lagi perpaduan.

Pengukuhan nilai-nilai itu juga perlu diteruskan dari semasa ke semasa.

Menegaskan mengenai perkara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, antara aktiviti yang perlu difokuskan di dalam sesebuah komuniti ialah kesejahteraan, keselamatan, kesihatan, serta kebersihan dan keindahan kawasan masing-masing.

“Saya percaya sekiranya kita dapat melakukan aktiviti-aktiviti di dalam kawasan ataupun komuniti kita berfokuskan empat agenda tersebut maka kita akan dapat meningkatkan lagi keselesaan, kesejahteraan dan juga perpaduan dalam komuniti kita yang ada.

“Bersama-samalah kita menjaga kemuafakatan, semangat kejiranan, semangat kemasyarakatan dalam komuniti yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Jom Karnival Tamu Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Mat Salleh anjuran KRT Taman Mat Salleh di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga ADUN Tanjung Keramat berpesan kepada orang ramai untuk terus mematuhi standard prosedur operasi (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19 yang masih berada dalam masyarakat.

“Dalam kegembiraan kita mendengar pengumuman proses peralihan dari fasa pandemik ke fasa endemik, saya ingin menyeru dan mengingatkan kepada semua agar terus memastikan bahawa kita mematuhi SOP yang digariskan oleh pihak Kerajaan dari semasa ke semasa agar dapat mengurangkan penularan virus Covid-19,” katanya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top