Kuatkuasakan Undang-undang Anti Lompat Di Setiap Negeri Sebelum Adakan PRU15 – LDP

chin-su-phin-LDP.jpg

Datuk Chin Su Phin

Kongsi Bersama

TAWAU: Undang-undang anti lompat parti perlu dikuatkuasakan di semua negeri sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya tidak tunduk kepada tekanan untuk segera mengadakan pilihan raya.

“Walaupun rang undang-undang anti lompat parti telah diluluskan di Parlimen, banyak negeri masih belum membentang dan meluluskannya di DUN masing-masing.

“Kita mesti pastikan semua negeri telah menguatkuasakan undang-undang anti lompat parti sebelum pilihan raya umum diadakan,” katanya ketika merasmikan persidangan bersama bahagian Balung, Sri Tanjong, Merotai dan Tungku di sini pada Ahad.

Beliau berkata Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjadi bekas perdana menteri pertama di Malaysia yang dipenjarakan berikutan keputusan penting Mahkamah Persekutuan untuk mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi penyelewengan dana berkaitan 1MDB pada 23 Ogos.

“Keputusan adil dan berani oleh panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat telah mencerminkan integriti badan kehakiman di Malaysia.

“Lebih penting lagi, penghakiman itu menghidupkan semula harapan untuk masa depan yang lebih baik di negara kita.”

Chin berkata tidak dapat dinafikan bahawa pendakwaan terhadap pemimpin Umno yang korup dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad apabila gabungan itu menamatkan 60 tahun pemerintahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Beliau juga memuji perdana menteri ke-8 Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdiri teguh dengan pendiriannya untuk tidak mencampuri sistem kehakiman, walaupun menghadapi tekanan daripada ‘kluster mahkamah’ untuk membebaskan mereka daripada pertuduhan, terutamanya dalam kes 1MDB Najib.

Beliau berkata Muhyiddin berpegang pada prinsipnya untuk tidak mengalah kepada tuntutan kluster mahkamah, walaupun keputusannya akhirnya menjejaskan kedudukan perdana menterinya.

Apabila Muhyiddin digantikan oleh Ismail Sabri, beliau berkata orang ramai bimbang sama ada perdana menteri sekarang, sebagai ahli Umno, akan membenarkan pemimpin partinya dibebaskan daripada semua pertuduhan.

“Tetapi Ismail Sabri telah membuktikan rasa hormatnya terhadap integriti badan kehakiman untuk mendengar dan memutuskan kes terhadap Najib, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datin Seri Rosmah Mansor.”

Sambil berkata demikian, Chin menegaskan bahawa PH tidak sepatutnya berlebih-lebihan mengambil kredit atas hukuman terhadap Najib.

“PH adalah pihak yang mendakwa Najib pada mulanya, tetapi kekuatan Muhyiddin dan Ismail Sabri untuk tidak campur tangan dalam sistem kehakimanlah yang akhirnya mengakibatkan keputusan penting terhadap Najib.

“Dan ini telah memberi harapan kepada rakyat Malaysia bahawa mungkin negara kita akan kembali ke landasan yang betul suatu hari nanti.”

Beliau berkata, kluster mahkamah Umno, khususnya Najib, jelas mengetahui bahawa keputusan mahkamah tidak akan memihak kepada mereka dan dengan itu terus menekan Ismail Sabri untuk mengadakan pilihan raya umum.

Beliau berkata kumpulan itu percaya bahawa jika BN menang dalam pilihan raya, Umno akan cukup berkuasa untuk membebaskan mereka.

Justeru, Chin menggesa Ismail Sabri supaya tidak tunduk kepada desakan untuk menggesa PRU15 segerai, lebih-lebih lagi sebelum undang-undang anti-lompat parti dibentangkan dan diluluskan di setiap negeri di Malaysia.

Dalam pada itu Chin menekankani bahawa BN, PN dan PH tidak akan dapat membentuk kerajaan persekutuan sendiri pada PRU15 tanpa sokongan Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah mencontohi rakyat Sarawak dalam memberikan sokongan penuh kepada parti tempatan dalam usaha mentransformasikan landskap politik di Malaysia.

“Kegawatan politik di Malaysia Barat dan pengundi Melayu yang berpecah belah memberi peluang keemasan kepada rakyat Malaysia Timur untuk bersatu dan menerajui politik negara.

“Kita tidak sepatutnya membenarkan Kerajaan Persekutuan memimpin kita selepas 60 tahun.

“Dengan menyokong parti tempatan, Sabah akan mempunyai suara yang lebih besar dan kuasa tawar-menawar yang lebih besar dalam menuntut hak dan kepentingan kami di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).”

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top