KOTA KINABALU : Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Panglima Hamzah Zainudin tidak berpuas hati dengan kemajuan projek kuarters 15 tingkat dengan kapasiti 102 unit rumah untuk pegawai dan anggota polis di Balai Polis Inanam.
Kenyataan berkenaan diberikannya berikutan kelewatan kerja-kerja kontraktor membangunkan projek kuarters polis terbabit yang kini baharu memasuki tahap kemajuan 50 peratus siap.
“Kita harap projek ini dapat disiapkan dalam tempoh enam bulan dan saya tidak gembira kerana masa serahannya terpaksa ditangguhkan,” katanya, semasa melawat tapak itu di sini, pada Isnin.
Hamzah berkata projek terbabit sepatutnya diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada penghujung tahun lepas namun sekarang sudah tertangguh beberapa bulan.
Menurutnya, kontraktor ada mengemukakan alasan kelewatan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan beberapa isu teknikal yang perlu mereka atasi.
“Saya sudah meminta mereka menyediakan kertas kerja dan akan bawa untuk penilaian jawatankuasa (teknikal) kerana kalau boleh kita tidak perlu gantikan dengan kontraktor baharu.
“Saya mahu projek ini dapat disiapkan dalam tempoh enam bulan, lagipun kemajuannya sekarang sudah mencapai hampir 10 tingkat, hanya lima tingkat lagi perlu disiapkan,” katanya.
Menyentuh projek pejabat pentadbiran dan lokap Balai Polis Inanam pula, menteri itu berpuas-hati dengan kemajuan projek terbabit yang dijadual diserahkan kepada KDN pada bulan hadapan.
“Balai Polis Inanam adalah balai polis termoden yang pernah didirikan di Sabah,” katanya, sambil mengesahkan projek balai itu bernilai RM15 juta, manakala kuarters pula RM40 juta. – Utusan Borneo