TAMPARULI: Kemampuan menguasai pelbagai bahasa dengan baik merupakan satu kelebihan dalam era globalisasi.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, kelebihan itu mampu meningkatkan kebolehpasaran individu sekali gus membuka peluang kerjaya di dalam dan luar negara.
“Sering kali menjadi halangan kepada pelajar Bumiputera di pusat pengajian tinggi adalah untuk menghasilkan kajian serta bahan ilmiah yang berkualiti, hanya kerana masalah penguasaan bahasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Program English For Employability Level 1 Tajaan Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (KSTI), di Dewan Muhibbah Kampung Kosusu Kionsom, di sini kelmarin.
Jahid berkata, memiliki kemahiran bahasa Inggeris yang baik sama ada mendengar, bercakap, membaca atau menulis adalah penting sejajar dengan usaha kerajaan untuk membangunkan modal insan di negara ini.
“Kursus seumpama ini pastinya akan memberi keyakinan kepada para peserta untuk berurusan, apatah lagi jika berpeluang bekerja atau melanjutkan pelajaran ke luar negara kelak.
“Tahniah kepada semua peserta kerana telah sanggup berkorban masa selama empat jam sehari, semata-mata untuk mendalami ilmu bahasa Inggeris, dan memberi sambutan yang sangat memberangsangkan,” katanya.
Justeru, Jahid menyeru kepada semua remaja belia yang hadir agar menggunakan segala ilmu yang diperolehi mereka sebaik mungkin.
“Betapa pentingnya kita mempunyai ilmu dan kemahiran sebelum menempuhi alam pekerjaan,” katanya.
Beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, memuji JPKK di kampung itu yang telah menjaga dan memelihara sepenuhnya dewan mereka untuk kegunaan bermanfaat selain turut ‘dimasyarakatkan’ kepada penduduk kampung mengadakan majlis keramaian.
Seramai 25 peserta telah menamatkan kursus itu yang merangkumi sebanyak 25 sesi pembelajaran, di bawah kelolaan Pusat e-Desa Topokon.