KOTA KINABALU: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif menggesa masyarakat termasuk penjawat awam negeri supaya proaktif dan pantas mempelajari sekali gus menguasai ilmu serta kemahiran digital sebagai persediaan mendepani cabaran kecerdasan buatan (AI).
Mohd Arifin berkata ini penting kerana AI dilihat turut menyumbang kepada risiko keselamatan siber meskipun teknologi itu mempunyai kemampuan dalam membantu memudahkan pelbagai urusan pekerjaan.
Menurutnya, kemampuan teknologi AI boleh disalah guna termasuk untuk mempengaruhi pengguna, menyebarkan maklumat palsu, melancarkan serangan siber atau aktiviti lain yang berbahaya dalam konteks keselamatan siber.
“Kita sekarang sudah melangkah ke (teknologi) AI. Bidang ini bukan sahaja membantu dari sudut ekonomi tetap juga dalam memperkasa nilai kemasyarakatan dan perkhidmatan awam.
“(Bagaimanapun) ia sangat mencabar dan memerlukan kemahiran (untuk menguasainya) serta kekuatan benteng dari sudut nilai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan BIMP-EAGA Cyber Security Summit 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini pada Selasa.
Program dua hari itu, yang berakhir hari ini dihadiri kira-kira 200 orang terdiri daripada para pemimpin digital kerajaan Sabah, pegawai kanan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kementerian serta jemputan dari rantau Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Ia dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah (JPKN) dengan kerjasama Sabah Net Sdn Bhd bertujuan menyumbang kepada penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam supaya lebih berkualiti dan selamat serta mengutamakan keperluan pengguna terutama rakyat.
Persidangan yang antara lain membincangkan konsep, perkembangan serta isu keselamatan siber terkini berfokuskan AI itu juga adalah usaha kerajaan Sabah ke arah memberi jaminan kepada para pemegang taruh iaitu kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri bahawa keselamatan siber menjadi agenda amat dititikberatkan.
Mengulas lanjut, Mohd Arifin berkata, kerajaan Sabah mempunyai mekanisme pertahanan keselamatan siber yang teguh untuk menangani sebarang ancaman berkaitan antara lain menerusi penubuhan pasukan khas dikenali sebagai Sabah Government Cyber Security Incident Response Team seawal 2002.
Beliau berkata pasukan khas dianggotai warga kerja JPKN dan SabahNet Sdn Bhd itu antara lain berperanan untuk memantau dan menangani isu-isu keselamatan siber di peringkat kerajaan negeri dan kedua-duanya bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan siber kebangsaan seperti Agensi Keselamatan Siber Negara, CyberSecurity Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Sementara itu, Mohd Arifin berkata sekurang-kurangnya terdapat 500,000 cubaan menceroboh dikesan setiap hari terhadap sistem aplikasi dan laman sesawang kerajaan negeri.
Setakat tahun ini, satu insiden pencerobohan dikesan berlaku di satu laman sesawang dihoskan dalam rangkaian SabahNet, namun, perkara itu hanya melibatkan kerosakan rupa bentuk laman sesawang dan tidak ada kehilangan data berlaku, katanya.
Berita asal: BERNAMA