KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan bersetuju menangani isu kekurangan bekalan elektrik menerusi pemasangan kuasa solar dan janakuasa bergerak dengan keupayaan menjana 300 megawatt (Mw) tenaga di pantai timur Sabah.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia adalah langkah sementara yang akan dilaksanakan dalam tempoh setahun setengah sebelum sebuah penyedia tenaga bebas (IPP) berkapasiti 1,000 Mw dibina.
Beliau berkata, keseluruhan projek dijangka bernilai berbilion ringgit itu penting untuk memastikan pengguna di kawasan pantai timur terutama di Sandakan dan Tawau tidak lagi berdepan gangguan bekalan elektrik.
“Oleh kerana banyak masalah berkaitan bekalan elektrik di kawasan pantai timur, kita berbincang dengan kerajaan Pusat bagaimana untuk menangani isu itu.
“Mereka bersetuju memberikan 300 Mw melalui janakuasa bergerak dan solar,” katanya pada sidang media berkaitan isu bekalan elektrik Sabah, di sini, semalam.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata usaha meningkatkan keupayaan grid tenaga yang menghubungkan pantai barat dan pantai timur Sabah, selain Kudat juga akan diteruskan.
Pada masa sama, pihaknya turut berbincang dengan kerajaan Pusat untuk menstruktur semula Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sebelum diambil alih kerajaan negeri.
Katanya, anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu perlu dipulihkan terlebih dahulu memandangkan ia berdepan banyak masalah termasuk beban hutang.
“Banyak masalah dan isu yang perlu kita atasi. SESB diberi tanggungjawab membekalkan elektrik di Sabah tetapi ia mengalami kerugian berterusan dan bekalan elektrik di negeri ini sering terputus.
“Sebab itu kita juga bincang untuk menstruktur semula SESB supaya ia boleh berdaya saing. Apabila SESB sudah boleh bangun barulah kita ambil alih daripada Pusat dan mengurusnya sendiri,” katanya.
Ketika di bawah kerajaan Parti Warisan Sabah (WARISAN) sebelum ini, isu pengambilalihan SESB daripada TNB dilaporkan sudah mencapai peringkat akhir sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri.
Bung Moktar berkata, kerajaan negeri turut merancang mewujudkan Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) sendiri.
“Perkara ini akan kita serahkan kepada Peguam Besar Negeri untuk berbincang dengan Peguam Negara soal merombak akta sedia ada,” katanya.
Katanya, usaha menambah baik bekalan tenaga di Sabah perlu memandangkan kemudahan utiliti itu sering menimbulkan masalah kepada rakyat di Sabah, selain air.
Beliau menekankan, kerajaan negeri perlu berani mengambil tindakan bagi mengatasi masalah berkenaan.
“Kita mempunyai beberapa pilihan berkaitan dengan isu ini iaitu membiarkannya saja, bertanya adakah rakyat Sabah patut terus berdepan dengan masalah itu dan ketiga perlu berani buat sesuatu,” katanya. – BH Online