Kuasa ketiga beri saingan sihat kepada PH-BN dan PN

hassan_karim_dec_17__full.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Keputusan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meninggalkan blok kerajaan untuk menjadi pembangkang sebagai kuasa ketiga memberi saingan sihat kepada Pakatan Harapan-Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, kata Ahli Parlimen PKR.

FMT dalam laporannya semalam memetik Hassan Karim sebagai berkata, kuasa ketiga merangkumi Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) misalnya adalah perkembangan sihat dalam politik negara supaya memberi rakyat pilihan lebih luas.

“Sistem dua parti seperti di Amerika Syarikat iaitu Demokrat dan Republikan begitu mendominasi politik negara kuasa besar tersebut.

“Jadi di Malaysia hanya ada dua gabungan iaitu PH-BN dengan PN sahaja maka keadaan kita sama seperti di AS. Sebagai analogi, rakyat hanya ada dua pilihan sama ada Coca-Cola atau Pepsi Cola yang rasanya lebih kurang sama,” kata Ahli Parlimen Pasir Gudang itu.

Selepas berteka-teki statusnya dalam kerajaan, presiden Muda yang juga Ahli Parlimen Muar hari ini secara rasmi mengumumkan keluar daripada blok kerajaan untuk menjadi pembangkang sebagai kuasa ketiga.

Syed Saddiq berkata, ia sebagai protes terhadap keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Hassan berkata sebagai Ahli Parlimen PH daripada PKR, beliau memohon Syed Saddiq dan Muda menyokong inisiatif kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“…sekiranya kerajaan perpaduan membawa inisiatif reformasi di Parlimen yang memerlukan kelulusan majoriti dua pertiga dalam undian berkenaan pindaan Perlembagaan Persekutuan atau usul atau rang undang-undang yang baik dan progresif sifatnya dibentangkan oleh kerajaan perpaduan pimpinan Anwar dari semasa ke semasa,” katanya.

Kata Hassan beliau menghormarti keputusan Syed Saddiq keluar daripada kerajaan perpaduan.

Katanya, Muda adalah sebuah parti politik bebas yang menekankan prinsip dan integriti dan berhak menentukan arah perjuangannya.

“Selalunya dalam sesuatu krisis, besar atau kecil akan muncul pemimpin dan kepimpinannya. Syed Saddiq dan Muda adalah pemimpin yang muncul daripada krisis perundangan dihadapi Malaysia sekarang.

“Saya ucapkan maju jaya kepada Syed Saddiq dan Muda,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top