KT6 Tawau Lakar Sejarah Peroleh 100 Peratus Lulus STPM

KT6-tawau.jpg

Antara pelajar KT6 Tawau yang cemerlang dalam STPM 2022. (Sumber foto: FB Kolej Tingkatan Enam Tawau)

Kongsi Bersama

TAWAU: Kolej Tingkatan Enam (KT6) Tawau melakar sejarah baharu selepas keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 melonjak naik dengan catatan Purata Nilai Gred Purata (PNGK) 2.89.

Keputusan itu adalah yang terbaik sejak penubuhan KT6 Tawau pada tahun 2017 kerana semua 395 pelajar yang menduduki peperiksaan STPM 2022 lulus dan layak memperoleh sijil.

Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar (HEP) KT6 Tawau, Sahari Bulan Nuhung berkata, pencapaian ini adalah yang terbaik pernah dilakar oleh pihak kolej.

Katanya, STPM 2022 KT6 Tawau mencatat kecemerlangan yang sangat tinggi kerana mencapai 100 peratus lulus bagi tiga pusat A, B dan C.

“Dari segi pencapaian kualiti PNGK pula melonjak daripada 2.71 kepada 2.89 dan terdapat seramai 70 orang pelajar memperoleh PNGK 3.50 ke atas, manakala lapan pelajar mencapai 4.0.

“Berdasarkan pencapaian dari segi lonjakkan kualiti dan kuantiti, STPM 2022 adalah paling baik pernah dicapai oleh KT6 Tawau,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan Slip Keputusan (MaPS) STPM 2022, di sini semalam.

Menurutnya, KT6 Tawau yang diketuai pengarah Matnoor Sima berjaya merealisasikan tiga apresiasi iaitu mencapai 100 peratus di tiga pusat, mencapai dua peratus keputusan PNGK 4.0 dan 35 peratus pelajar mendapat keputusan melebihi 3.0.

Sahari berkata, pencapaian ini adalah hasil kerja keras semua pentadbir, pensyarah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pelajar yang membantu KT6 Tawau selama ini.

“Kami sangat bersyukur kerana semua pihak berusaha merealisasikan tiga impian dan sasaran KT6 Tawau,” katanya.

Bagi pelajar cemerlang, Muhammad Amirul Aizat Rahman bersyukur kerana berjaya memperoleh keputusan 3.92.

Katanya, sebelum memperoleh keputusan ini, banyak cabaran yang ditempuhi terutamanya semasa berada dalam semester pertama kerana terpaksa belajar secara dalam talian.

“Bagi seorang yang dibesarkan tanpa ayah dan kurang berkemampuan, belajar dalam talian memang sangat membebankan kerana terpaksa keluarkan kos yang tinggi.

“Namun, semester ketiga saya bangkit semula kerana sesi persekolahan dilakukan secara bersemuka dan akhirnya segala usaha membuahkan hasil hari ini,” katanya.

Sementara itu, Felicity Wong Lee Fen yang turut memperoleh keputusan PNGK 3.92 berharap dapat masuk universiti dalam bidang ekonomi.

Katanya, kejayaan ini bukan mudah dia perolehi kerana terpaksa mengambil banyak masa belajar terutamanya mata pelajaran yang lemah.

“Saya banyak ulang kaji mata pelajaran dan ujian yang pernah dilalui supaya mudah menjawab soalan-soalan yang susah.

“Pencapaian ini juga adalah sokongan daripada ibu bapa, pensyarah dan rakan-rakan yang selama ini banyak membantu,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top