Krisis Rusia-Ukraine: Malaysia harus lebih tegas – Anifah

anifah-e1599598097357.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Semua pihak yang terlibat dalam menyelia sistem telekomunikasi dan digital negara harus bersedia meningkatkan tahap keselamatan infrastruktur sektor itu dalam berdepan dengan sebarang ancaman serangan siber di masa hadapan.

Tegas Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman, negara harus mengambil iktibar dan melihat kepada situasi ‘perang siber’ dan penyaluran maklumat palsu seperti yang berlaku dalam krisis antara dua negara, Ukraine dan Rusia ketika ini.

“Seiiring dengan kesediaan negara dalam mengimplementasikan teknologi 5G buat kemudahan rakyat, kita harus mempertimbang aspek keselamatan (sektor itu).

“Isu keselamatan 5G amat membimbangkan saya susulan beberapa penyedia teknologi 5G mempunyai hubungan dengan (negara) kuasa-kuasa besar yang menceroboh perairan kita sehingga menjejaskan kehidupan dan mata pencarian penduduk seperti di Sabah.

“Perlu diingatkan, industri telekomunikasi telah berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan evolusi sehingga munculnya cabaran baharu seperti risiko keselamatan siber,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ujar beliau lagi, sistem ini berkait rapat dengan sektor penting negara seperti kewangan, pengangkutan, ketenteraan dan industri kritikal lain.

Oleh yang demikian katanya, adalah penting untuk negara mempunyai infrastruktur digital yang lebih kukuh dan selamat.

Mengulas berkenaan keselamatan perairan wilayah, tambah Anifah negara harus memandang serius hal ini dan tidak bertoleransi sama sekali dengan sebarang bentuk ancaman dari kuasa asing.

Dalam pada itu, Anifah turut menyeru agar kerajaan mempunyai pendirian tegas dalam krisis Ukraine dan Rusia.

Menurutnya, kerajaan perlu menggesa semua pihak menghentikan keganasan dan melakukan rundingan damai.

“Tidak cukup dengan hanya menjadi ‘suara gema’ mengikut sentimen negara lain.

“Malaysia harus berpendirian tegas dalam isu ini dan mengambil tindakan untuk menghentikan pencerobohan itu.

“Melihat kepada isu geopolitik semasa yang menyelubungi perairan negara kita dengan pencerobohan negara kuasa besar di kawasan timur, kita mungkin berada dalam kedudukan yang sama seperti Ukraine,” jelas beliau lagi dalam kenyataan sama.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top