Krisdayanti Bantu Baiki Gereja Uzur

kirsdayanti.jpg
Kongsi Bersama

JAKARTA: Penyanyi tersohor Indonesia, Krisdayanti mencuri perhatian warganet selepas tampil menghulur bantuan membaiki sebuah gereja uzur yang terletak di daerah Malang, dekat sini.

Krisdayanti yang berkongsi perkara itu di Instagramnya berkata, tujuannya bersama-sama membangun semula gereja tersebut adalah atas dasar rasa prihatin terhadap penganut agama Kristian di daerah itu yang juga perlu beribadat dalam keadaan selesa.

“Tahun lalu saya didatangi seorang paderi yang memberitahu tentang keadaan gereja di daerahnya yang sudah uzur.

“90 peratus penduduk di kawasan itu beragama Kristian dan gereja itu satu-satunya tempat beribadah yang masih digunakan meskipun keadaannya uzur dan hampir runtuh.

“Alhamdulillah dengan izin Allah, program pembangunan Balai Latihan Kerja Komuniti Gereja Jamaat Tambakasri kini sedang dibangunkan,” kongsinya, yang juga salah seorang anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bagi penggal 2019-2024 mewakili bahagian Jawa Timur V.

Selain itu, ibu kepada penyanyi Aurel Hermansyah ini turut menyumbangkan peralatan muzik untuk digunakan di gereja berkenaan.

“Selain bangunan, bantuan alat muzik juga disalurkan untuk aktiviti keagamaan penduduk di sini. Semoga bermanfaat,” tulisnya lagi.

Tindakan Krisdayanti itu menerima maklumbalas yang pelbagai khususnya dari rakan selebriti yang rata-rata kagum dengan semangat muhibah dan keprihatinan Diva Indonesia itu terhadap keperluan penganut agama lain.

“Kamu memang berbeza. Inilah sebabnya kamu disayangi ramai!” tulis pelakon, Sophie Navita.

Dalam masa yang sama, penyanyi, Nowela Elizabeth Auparay meluahkan rasa terharu di ruangan komen.

“Mimi, mahu menangis saya melihatnya. Terima kasih atas kasih Mimi untuk saudara-saudara penganut Kristian,” tulisnya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top