KPM tidak kompromi kes pelajar vokasional maut dibelasah rakan

KPM.jpg

Gambar hiasan. (Kredit foto: Bernama)

Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia memberi kerjasama penuh dalam siasatan kejadian seorang pelajar kolej vokasional di Sabah yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan, semalam.

Dalam kenyataan hari ini, KPM memaklumkan pihaknya tidak berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaan kementerian berkenaan.

“KPM menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, pelajar Kolej Vokasional di Sabah yang telah meninggal dunia pada Jumaat.

“Kematian mangsa masih dalam siasatan pihak berkuasa dan KPM bersedia memberi kerjasama penuh,” menurut kenyataan itu.

KPM juga, katanya, mengambil tindakan segera dengan memberi bantuan kebajikan kepada keluarga mangsa.

“Sokongan psikososial turut ditawarkan kepada keluarga, pelajar lain, guru dan seluruh warga kolej,” katanya.

Semalam, pelajar berusia 17 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas lantai dalam bilik asrama.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Polis, Dr Rohan Shah Ahmad berkata pihaknya percaya punca kejadian akibat perselisihan faham antara pelajar terbabit dengan pelajar lain yang menghuni asrama berkenaan.

Katanya seramai 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top