KPM terus komited mengurangkan jurang pendidikan di pedalaman Sabah, Sarawak

FadhlinaSidek.jpg

Fadhlina (Gambar fail)

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) terus komited mengurangkan jurang pendidikan di pedalaman Sabah dan Sarawak dengan memberi fokus utama kepada sekolah daif.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata selaras dengan Belanjawan 2024, KPM akan memberi fokus untuk membina sekolah baharu di pedalaman dengan tidak meminggirkan Sabah dan Sarawak.

“Kita nak keseimbangan itu (sekolah) berlaku dan bila kita bercakap dengan pembangunan kokurikulum dan pembangunan sahsiah ia termasuk juga dengan pembangunan-pembangunan infrastruktur “ katanya pada sidang media Majlis Anugerah Malaysia Teacher Prize 2023 di sini, pada Ahad.

Dalam majlis itu, Cikgu Muhammad Nazmi Rosli dari Sekolah Kebangsaan Long Sebangang, Sarawak dinobatkan sebagai pemenang Malaysia Teacher Prize 2023 sekali gus membawa pulang hadiah utama wang tunai RM50,000.

Muhammad Nazmi yang juga merupakan guru Bahasa Inggeris dipilih sebagai pemenang kerana ikhtiarnya mendidik murid-murid di sekolah dengan membuat latihan simulasi bilik darjah, dengan anak muridnya diperkenalkan kepada pengalaman kehidupan lazim seperti memasuki kedai dobi atau menaiki kapal terbang dengan hanya menggunakan bahan kitar semula.

Beliau yang sebagai pelopor Kelab Filpen (filem pendek) berkata beliau juga memberi ruang kepada muridnya untuk mengekspresikan diri mereka melalui pembikinan filem pendek yang antaranya filem ‘Teether’ yang berjaya diterima ke festival filem Horror Unleashed di Portugal.

Mengulas mengenai kemenangannya, Muhammad Nazmi berkata beliau sangat bersyukur kerana kegigihannya membuahkan hasil.

“Bagi saya, platform ini adalah peluang untuk bukan sahaja berkongsi kisah kehidupan seharian kita sebagai pendidik, tetapi juga untuk menyerlahkan akar umbi matlamat hidup kita, baik di dalam mahupun di luar bilik darjah,” katanya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top