KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa mengambil pendekatan daripada pelbagai sudut bagi menambah baik kemudahan asrama sekolah untuk murid terutama di kawasan pedalaman Sabah.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihaknya menyedari memang ada kawasan di Sabah di mana murid perlu berjalan kaki atau menaiki bot untuk ke sekolah.
“Di Sabah ini, kadang-kadang sejam untuk ke sekolah dan sebab itu antara pendekatan ini adalah untuk melihat bagaimana kita dapat menambah baik kemudahan asrama untuk anak-anak kita ini.
“Dalam konteks ini, apa yang penting adalah untuk anak-anak ini mendapat ruang terbaik dan pada sudut kita pula dari segi pembinaan sekolah baharu sebagai contohnya. Kita ambil kira juga kemudahan pengangkutan di kawasan sekitar dalam kita memilih tapak-tapak ini.
“Saya rasa, ini merupakan pendekatan yang kita ambil, melihat kepada apa yang disebut tadi. Apa yang paling penting kita mahu semua anak kita mendapat akses dalam pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada program Bersama Semarakkan Tranformasi Pendidikan-Guru, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jika KPM ada keperluan untuk menambah asrama di sekolah pedalaman berikutan sering tular isu kesukaran murid ke sekolah di Sabah.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, KPM ketika ini belum mempunyai jumlah sekolah di mana murid mengalami masalah berkenaan kerana keadaan di setiap sekolah berbeza-beza.
“Kadang-kadang sebelum ini keadaannya baik kemudian katakanlah jambatannya rosak, tidak boleh guna maka keadaannya berbeza.
“Sebab itu ia dinamik tiada satu jumlah khusus berkaitan dengan ini kerana infrastruktur itu di luar sekolah, kalau infrastruktur di dalam sekolah itu sentiasa kita pantau,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Radzi berkata, bagi menyelesaikan perkara berkaitan infrastruktur terutamanya, KPM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan.
“Kalau ada laporan murid tidak boleh datang ke sekolah dengan pelbagai sebab, kita bekerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan bagaimana kita boleh menyelesaikan masalah tersebut.
“Kalau isunya infrastruktur, kita bincang dengan semua agensi yang terlibat, InsyaAllah kita sentiasa mencari pendekatan yang terbaik untuk membantu mereka mendapatkan akses pendidikan yang terbaik,” katanya. – SINAR