KPM Gigih Selesaikan Masalah Sekolah Tumpang Di Sabah

radzi.jpg
Kongsi Bersama

SANDAKAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang berusaha gigih menyelesaikan isu sekolah tumpang membabitkan 23 sekolah di Sabah.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, Sabah menjadi negeri tertinggi menghadapi masalah itu.

Menurutnya, KPM sudahpun menyediakan peruntukan sebanyak RM706 juta bagi membina 20 buah bangunan baru bagi menempatkan sekolah tumpang berkenaan.

“Ada antara 20 sekolah itu sudahpun siap dan selebihnya masih pembinaan dan ada juga yang dalam proses perolehan.

“Ia berperingkat dan apa yang penting adalah untuk kita pastikan proses itu berjalan dengan baik dan kita sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri.

“Ini adalah pendekatan menyeluruh. Kita nak selesaikan perkara sekolah menumpang ini sebaik mungkin,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Bangunan Baru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Libaran, di Sandakan, pada Isnin.

Menurut Radzi, SMK Libaran adalah salah satu sekolah yang menumpang sejak lebih 20 tahun lalu di bangunan sebuah sekolah rendah.

“Hasil komitmen kerajaan dan KPM, akhirnya SMK Libaran memiliki bangunan sendiri.

“Diharapkan dengan kewujudan bangunan sekolah baru ini, ia mampu menyediakan ruang pembelajaran kondusif kepada pelajar SMK Libaran,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top