KPLB Setuju Cadangan Harga Lantai Getah Sekerap Dinaikan Kepada RM3.50 Sekilogram

mahdzir.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kenaikan harga lantai getah sekerap dari RM2.50 kepada RM3.50 sekilogram mampu mengelakkan pekebun kecil getah beralih ke tanaman komoditi lain.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jika harga komoditi itu masih pada tahap lama, pekebun kecil getah akan beralih ke tanaman komoditi lain yang harganya lebih tinggi terutama kelapa sawit.

“Bila ada perbandingan antara harga getah dan kelapa sawit, banyak pekebun kecil beralih untuk menanam kelapa sawit berikutan harga getah lebih rendah.

“Justeru, saya menyokong harga lantai getah dapat dinaikkan walaupun ia agak sukar dilaksanakan namun kita mesti mencari jalan.

“Jika tidak, harga lantai getah sekerap masih rendah dan pekebun kecil getah juga akan beralih ke tanaman kelapa sawit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Kilang Getah SMR Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di sini pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram mulai Januari tahun hadapan.

Langkah itu bagi membantu lebih ramai penoreh getah keluar dari garis kemiskinan.

Mahdzir berkata, jika senario pekebun kecil getah beralih ke tanaman lain secara berterusan, negara akan kehilangan penghasil komoditi getah.

“Selain harga lantai, ruang lebih luas untuk menjual hasil getah dan meluaskan kawasan tanaman getah adalah dua lagi perkara penting bagi membantu pekebun kecil getah dalam meningkatkan pengeluaran sekali gus dapat meningkatkan tahap sosio-ekonomi mereka.

“Agensi kerajaan negeri seperti Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) turut memainkan peranan membantu 80,000 pekebun kecil getah di negeri ini dalam memberikan ruang untuk mereka menjual hasil getah.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top