KPLB Sabah teruskan program basmi miskin tegar di negeri ini

jahid.jpg

Jahid bersama ahli pelaksana sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Guru di SJKC Chung Hwa Tamparuli memotong kek sebagai simbolik perayaan.

Kongsi Bersama

TUARAN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan meneruskan program yang sudah dirangka untuk menjadi sistem sokongan kerajaan negeri dan perajaan pusat dalam usaha membasmi miskin tegar di negeri ini.

Menterinya, Datuk Jahid Jahim juga menyeru ibu-bapa dan guru untuk bersama melahirkan anak-anak yang mementingkan pendidikan, bagi membolehkan mereka mejadi insan yang berilmu seterusnya menambahbaik taraf hidup keluarga serta masyarakat.

“Selaras dengan dasar kerajaan Persekutuan dan disokong oleh Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), pembasmian kemiskinan adalah salah satu fokus utama kita.

“Sekiranya kita meneruskan usaha untuk memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak, pembasmian kemiskinan ini dapat realisasi satu persatu.

“Buat masa ini, kementerian saya akan meneruskan program yang sudah dirangka untuk menjadi sistem sokongan membasmi miskin tegar, kemudian beralih kepada kategori-kategori miskin yang lain, satu persatu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Guru di SJKC Chung Hwa Tamparuli pada Jumaat.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli berkata, kerajaan negeri ketika ini dalam proses penilaian status kemiskinan dan mula mengambil tindakan bagi melaksanakan keperluan untuk pembasmian miskin tegar.

Ketika berucap di majlis itu, Jahid juga menggalakkan penganjuran aktiviti kebudayaan seperti Kaamatan, bagi meningkatkan lagi keharmonian dan keamanan rakyat khususnya di Sabah.

“Kerajaan sememangnya menggalakkan penganjuran program kebudayaan seumpama ini terutamanya di sekolah kerana perbezaan budaya membolehkan kita semua mempelajari dan memahami falsafah setiap kaum.

“Semangat perpaduan yang terjalin daripada sambutan perayaan seperti ini dapat menyemai rasa kasih sayang dan mengikis perasaan mementingkan diri, sekali gus menjamin keharmonian dan keamanan rakyat di Sabah.

“Sebagai sekolah yang terdiri daripada 70 peratus murid kaum Kadazan Dusun, Pesta Kaamatan ini tentunya memiliki makna yang sangat mendalam bagi kita semua,” katanya.

Tambahnya ini juga kesempatan untuk mengingatkan pentingnya bersyukur dan saling menghargai antara satu sama lain, dalam semangat Kaamatan, kita belajar tentang kebersamaan, perpaduan dan penghormatan terhadap budaya serta tradisi.

Turut hadir ketika majlis itu ialah Penaung Penasihat Lembaga Pengurusan Sekolah Chrisnadia Sinam, Pegawai Daerah Tamparuli Herman Tunggiging, Guru Besar SJKC Chung Hwa Tamparuli Koh Chin Leung, Yang Dipertua PIBG Sekolah Teo An Lun dan Pengerusi Alumni Sekolah Datin Chong Chee Yeon.

Pelbagai acara sepanjang majlis seperti upacara penyampaian bunga ros, nyanyian, tarian, cabutan tiket bertuah dan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan peringkat sekolah. – UTUSAN BORNEO

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top