KPLB Sabah Sedang Kumpul Laporan Kerosakan Akibat Banjir – Jahid

sumbangan-jahid.jpeg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar sedang mendapatkan laporan daripada pegawai-pegawai daerah mengenai kerosakan kemudahan infrastuktur di kawasan yang terjejas banjir.

Menterinya, Datuk Jahid Jahim berkata, pejabat daerah yang terkesan sedang mengumpulkan data-data yang diperlukan dan diharap semua senarai kerosakan itu dapat diserahkan secepat mungkin untuk diambil tindakan selanjutnya.

“Setelah pegawai daerah dan penolong pegawai daerah mengumpul semua maklumat-maklumat itu barulah ia akan dihantar kepada urusetia di peringkat negeri. Mana yang perlu diberi keutamaan, kita akan berikan perhatian bagi memastikan keselesaan rakyat tidak terjejas.

“Jika dilihat semasa banjir kali ini, tidak banyak kemudahan infrastuktur luar bandar yang terjejas. Kerosakan yang berlaku lebih infrastruktur kecil seperti jambatan kecil, setakat ini tiada kerosakan jambatan yang besar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan 10,000 bun kepada petugas barisan hadapan oleh Kim TecK Cheong, di Hospital Queen Elizabeth (QEH), hari ini.

Menurutnya, tindakan yang diambil bagi memberi keutamaan memperbaiki kerosakan yang berlaku adalah selaras dengan saranan Ketua Menteri yang mahukan keperluan rakyat diambil tindakan segera.

Mengenai sumbangan Cremos bun daripada Kim Teck Cheong Consolidated Bhd itu, Jahid berkata, sumbangan itu sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap kerja keras petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli itu berkata, sumbangan tersebut bagi melengkapi usaha kerajaan dalam membantu rakyat dan petugas barisan hadapan yang selama ini bertungkus lumus menangani Covid-19.

“Semoga pihak swasta dan syarikat lain dapat mencontohi langkah yang diambil oleh syarikat ini bagi memberi sumbangan kepada frontliners,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah QEH I, Dr William Gotulis berkata, sumbangan yang diberikan itu sedikit sebanyak dapat membantu petugas barisan hadapan untuk berdepan dengan hari-hari mendatang dalam tempoh beberapa hari ini.

Sumbangan itu akan turut dikongsikan dengan pesakit Covid-19 yang berada di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) sekitar pusat bandaraya ini.

Turut hadir adalah Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong (KTC) Consilidated Bhd, Dexter Lau.

 

-BORNEO TODAY

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top