KPLB Sabah Akan Beri Tumpuan Pembangunan Rangkaian Internet Di MESEJ

jahid-sumbangan.jpg
Kongsi Bersama

NABAWAN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan liputan rangkaian internet di Perkampungan Mini Estet Sejahtera (MESEJ).

Menterinya, Jahid Jahim berkata, rangkaian internet di MESEJ akan dapat membantu meningkatkan jaringan komunikasi bukan sahaja penduduk kampung MESEJ yang berada di pedalaman tetapi juga kepada seluruh penduduk di negeri ini.

Katanya kerajaan telah menyediakan keperluan asas kepada peserta MESEJ seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air.

Walau bagaimanapun, menurutnya pada masa kini, liputan internet menjadi satu keperluan, maka ia akan ditambah baik yang mana jika tidak dilakukan demikian akan ketinggalan dalam arus pembangunan.

“Kita berharap jurang digital di setiap kampung MESEJ dan Sabah amnya dapat disamaratakan di seluruh negara,” katanya kepada media selepas menghadiri taklimat Pejabat Daerah Nabawan dan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) di MESEJ Labang pada Jumaat.

Jahid mengadakan Lawatan Kerja ke MESEJ Kaingaran, Tambunan, MESEJ Bunang 2, Sook, MESEJ Labang, Sapulut bermula Khamis lepas sehingga Jumaat.

Menurut Jahid, lawatan tersebut adalah bagi meninjau perkembangan projek-projek kerajaan yang telah dirancang sejak 10 tahun lalu.

“Antara fokus utama lawatan kerja ini adalah untuk melihat perkembangan terkini program-program pembasmian kemiskinan di peringkat akar umbi.

“Kita ingin lihat bagaimana keadaan mereka selepas projek dijalankan, adakah ianya mencapai matlamat telah dirancang atau adakah perlu diadakan sebarang penambahbaikan atau pun perlu diteruskan dengan keadaan sedia ada.

“Dalam pemerhatian saya dan Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Datuk Fredian Gan kita lihat ada peningkatan pencapaian cuma terdapat isu baharu di mana infrastruktur konvensional itu tidak mencukupi ianya perlu ditambah dengan liputan internet supaya dapat melengkapkan apa yang telah kita rancangkan dahulu,” jelasnya.

Untuk rekod, Sabah mempunyai 52 perkampungan MESEJ yang tertumpu kepada tanaman getah, kelapa sawit, akuakultur, mikro pertanian, mikro akuakultur dan MESEJ Bersepadu yang bertujuan meningkatkan pendapatan Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) yang tersenarai dalam e-kasih agar dapat keluar daripada garis kemiskinan.

Dalam pada itu, Jahid turut mengadakan lawatan singkat ke Balai Polis Nabawan bagi menyerahkan bakul makanan kepada anggota keselamatan yang bertugas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Hadir sama pada program berkenaan adalah Ketua Daerah Nabawan, Peter Jonu @ Peter J. Moinjil  dan Pengurus Besar SLDB, Shaheddrul R Joddari. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top