NABAWAN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Pertanian menyalurkan peruntukan RM3.37 juta, masing-masing RM2.24 juta untuk pembinaan Coffee House dan Cafe Coffeelive di Stesen Pertanian Sepulut dan RM1.13 juta untuk menaik taraf pusat pengumpulan hasil kopi di daerah ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata projek yang dijalankan melalui Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan bagi mengoptimumkan penggunaan tanah dengan kerjasama kerajaan negeri itu adalah inisiatif ‘quick-win’ KPKM yang dijangka siap menjelang Februari 2025.
Arthur berkata beliau yakin projek itu akan memberi impak dalam membantu pengusaha tanaman kopi meningkatkan pendapatan, menaik taraf sosioekonomi dan membuka peluang pekerjaan terutama kepada belia untuk menghasilkan produk hiliran kopi berkualiti dan selamat dimakan, serta memenuhi standard pensijilan yang ditetapkan untuk pasaran dalam dan luar negeri.
“KPKM berharap agar aspek pengurusan dan pengendalian Coffee House dan Cafe Coffeelive dilaksanakan dengan teratur dan memberi penekanan dari segi kebersihan serta amalan mesra alam,” katanya menerusi kenyataan di sini pada Selasa selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Coffee House dan Cafe Coffeelive.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata berdasarkan data perangkaan yang dikeluarkan Jabatan Pertanian Sabah sehingga 2022, pengeluaran kopi masih rendah dengan tahap kecukupan hanya 35 peratus.
Beliau berkata data berkenaan berdasarkan keluasan bertanam iaitu 1,434.2 hektar, manakala luas berhasil 936.1 hektar dan pengeluaran 936.1 tan.
Bagi pengeluaran kopi di daerah Nabawan dan Sook, keluasan bertanam setakat ini adalah 341.6 hektar dengan pengeluaran 248 tan setahun mewakili 26.5 peratus pengeluaran kopi negeri Sabah.
Arthur berkata KPKM melalui Jabatan Pertanian yang membangunkan industri kopi dengan peruntukan RM4.5 juta dan sasaran keluasan 300 hektar yang bermula daripada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) akan diteruskan dalam RMK12. – BERNAMA