SOOK: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang melalui jabatan dan agensi di bawahnya sentiasa komited dalam merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mienangani isu kos sara hidup rakyat, kini mengorak langkah dengan penganjuran sulung Jualan Agro Madani Mega ke kawasan pendalaman Sabah.
Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata usaha itu adalah selaras dengan peranan kementerian selaku penggerak utama dalam memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi dan tersedia buat seluruh rakyat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut di Sook.
Menurutnya lagi, penganjuran Jualan Agro Madani merupakan usaha KPKM melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam mewujudkan satu usaha bersepadu “Quick Win” berteraskan penjimatan dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Pada tahun 2023, KPKM telah berjaya menganjurkan sebanyak 5608 Jualan Agro Madani di seluruh negara dan berjaya mencatatkan sejumlah 2.9 juta pengunjung di sepanjang penganjuran dengan penglibatan seramai 74,800 usahawan dan nilai jualan sebanyak RM93.7 juta.
Daripada jumlah tersebut, FAMA Sabah telah menganjurkan sebanyak 367 Jualan Agro Madani di Sabah dengan mencatatkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM5.2 juta dan melibatkan seramai 3,990 orang usahawan.
Bagi tahun 2024 pula, setakat 3 Mac, Program Jualan Agro Madani itu telah dilaksanakan di 1,227 lokasi di seluruh negara, melibatkan kira-kira 16,242 usahawan tempatan serta membawa nilai penjimatan kira-kira RM7.87 juta kepada pelanggan.
Dalam pada itu, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata sebagai pemimpin dari kawasan pedalaman Sabah, beliau komited untuk memastikan masyarakat di kawasan pedalaman baik masyarakat umum mahupun para usahawan tidak ketinggalan daripada menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif yang ditawarkan oleh KPKM.
Sehubungan itu, pelaksanaan Karnival Jualan Agro Madani Mega Sook ini merupakan program jualan Agro Madani yang julung kalinya dilaksanakan dengan skala besar. Inisiatif tersebut telah berjaya menarik penglibatan lebih 100 penjual serta sejumlah lebih kurang produk 135 SKU (Stock Keeping Unit) pelbagai jenis produk agromakanan keluaran tempatan negeri Sabah.
Karnival Jualan Agro Madani Mega Sook mewujudkan platform kepada petani dan usahawan untuk memasarkan produk keluaran mereka secara terus dan secara tidak langsung dapat menawarkan harga sekitar 10-30 peratus lebih murah dari harga pasaran kepada rakyat kerana tidak melibatkan orang tengah.
Ulasnya lagi, dengan tawaran harga yang lebih murah dan kepelbagaian produk, KPKM menjangkakan Karnival Jualan Agro Madani Mega Sook akan dapat merekodkan hasil jualan sebanyak RM250 ribu dan menarik seramai 5 ribu orang pengunjung di sepanjang penganjuran selama 2 hari.
Hadir sama, Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri; Pengarah FAMA Sabah, Sarman Sidno dan pengarah-pengarah agensi KPKM di Sabah.