KPDNHEP Rampas Serbuk Penaik Tiruan Bernilai RM139,218 di Tawau

rampas-serbuk-penaik.jpg

PENGUAT kuasa KPDNHEP memeriksa serbuk penaik yang dipercayai tiruan.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menyita 38,188 unit serbuk penaik disyaki tiruan di dua premis perniagaan makanan kering di Tawau, semalam.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, serbuan dijalankan oleh dua pasukannya membabitkan tujuh anggota dan turut bersama wakil kepada pemilik cap dagang berdaftar jenama Royal Baking Powder.

“Hasil serbuan, pasukan operasi menyita 38,188 unit pelbagai kuantiti serbuk penaik jenama itu yang disyaki tiruan bernilai RM139,218 dan tindakan diambil mengikut Akta Cap Dagang 2019,” katanya menerusi kenyataan media, pada Rabu.

Georgie berkata, kedua-dua pemilik premis perniagaan disiasat mengikut Seksyen 102(1)(b)(c) Akta Cap Dagangan 2019, yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan penguatkuasaan bagi membanteras penjualan barangan tiruan, serta mengingatkan peniaga supaya lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek pihak lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top