KPDN tahan penjaga stor, sita 4,000 liter diesel bersubsidi

rampas-minyak.jpg

Diesel ditemui dalam tong drum yang disimpan di sebuah stor haram di Pasir Putih, Tawau.

Kongsi Bersama

TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menahan seorang penjaga stor serta menyita 4,000 liter minyak diesel bersubsidi dalam serbuan Ops Tiris 3.0 di sebuah stor di Pasir Putih di sini semalam.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 2.20 petang selepas pasukan penguat kuasa KPDN menemukan 2,000 liter minyak diesel di dalam 18 tong dram serta 2,000 liter di dalam tangki treler disyaki untuk diseleweng.

“Risikan dijalankan selama seminggu oleh KPDN Sabah sebelum serbuan dijalankan. Siasatan awal mendapati stor itu tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan minyak diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua yang disita ialah dua mesin pam minyak, satu hos getah, 18 tong dram, satu tangki gentian yang diubah suai dan tangki treler yang dianggar bernilai RM104,500.

Georgie berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“KPDN Sabah akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan terhadap aktiviti membabitkan barangan kawalan agar tidak berlaku penyelewengan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti melanggar perundangan boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui WhatsApp 019-8488 000, portal e-aduan.kpdn.gov.my atau pusat panggilan 1-800-866-800 serta aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top