KPDN Sabah Tempatkan Mesin Retort Di Premis Industri Makanan Untuk Perkasa FBM

KPDN-Sabah.jpg

Georgie (kanan) dan Abdul Kadir menunjukkan mesin pembungkusan retort itu.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah terus komited dalam memperkasakan lagi program Food Bank Malaysia (FBM) dengan penempatan mesin pembungkusan retort di premis pengusaha industri makanan di negeri ini bagi membantu rakyat dan pengguna memanfaatkan lebihan makanan yang masih elok dan selamat untuk dimakan daripada pembaziran.

Sebagai perintis projek ini di Sabah, KPDN Sabah kelmarin telah menyerahkan satu unit mesin pembungkusan retort kepada BTC Maju Holding Sdn. Bhd. melalui Datuk Haji Abdul Kadir M.E Sikkandar selaku Ketua Pegawai Eksekutif.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, inisiatif ini merupakan kaedah terbaik dalam mengendalikan lebihan makanan yang dihasilkan oleh industri makanan, peruncitan, hotel dan restoran sekali gus dapat membantu mengurangkan kadar pembaziran dalam negara.

Teknologi pembungkusan Retort adalah kaedah pengawetan makanan tanpa menggunakan bahan kimia serta menggunakan teknik aseptik iaitu bebas dari sebarang mikroorganisma membiak. Ianya menggunakan haba yang tinggi (pensterilan) untuk membunuh atau melumpuhkan bakteria yang berbahaya. Jangka hayat lebihan makanan yang melalui proses retort ini juga mampu ditingkatkan antara 18 hingga 24 bulan.

Pelaksanaan proses pembungkusan secara retort di bawah Program FBM melibatkan pelbagai pihak iaitu Sekretariat Food Bank Malaysia (SFBM), KPDN Negeri, industri perhotelan, katering dan pengeluar produk makanan.

“Golongan sasar bagi program ini pula tertumpu kepada Keluarga yang tergolong kurang berkemampuan dalam kumpulan B40 (diutamakan kepada keluarga mempunyai tanggung Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas), keluarga yang mengalami atau terkesan oleh bencana alam seperti banjir dan kebakaran,

“Pelajar yang tergolong dalam kumpulan B40 (diutamakan kepada pelajar yang lahir dari keluarga berpendapatan bawah RM 1,000) serta pelajar yang memerlukan dan dikenal pasti dari semasa ke semasa.

“KPDN Sabah amat mengalu-alukan syarikat-syarikat atau pasar-pasar raya yang berpontensi untuk menjadi penyumbang kepada projek ini sekaligus dapat membantu dalam mengurangkan kadar pembaziran dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama, katanya, inisiatif ini dapat membantu rakyat dan pengguna dalam memanfaatkan lebihan makanan yang masih elok dan selamat untuk dimakan daripada dibazirkan.

Semasa penyerahan mesin pembungkusan retort tersebut, perbincangan mengenai pelaksanaan Program Menu Rahmah turut diadakan dengan Abdul Kadir, yang juga merupakan Penasihat Dewan Perniagaan India Muslim Sabah. – WARTA ORIENTAL

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top