KPDN rekod rampasan lebih RM1 juta, babit 55 kes di Sandakan

KPDN-Sandakan.jpg

Ketua Cawangan KPDN Sandakan Azdy Zukkry John menimbang paku yang dijual oleh sebuah premis sewaktu mengadakan operasi pemeriksaan harga di Botition.

Kongsi Bersama

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan rampasan berjumlah lebih RM1 juta membabitkan 55 kes atas pelbagai kesalahan di Sandakan sejak 1 Jan hingga kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Cawangan Sandakan Azdy Zukkry John berkata bagi tempoh sama pihaknya turut menerima 52 aduan dan daripada jumlah itu 47 aduan diselesaikan manakala bakinya masih disiasat.

“Bagi tempoh sama, sejumlah RM6,700 kompaun dikutip atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Azdy Zukkry berkata pihaknya hari ini turut mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada lima peniaga daripada 10 premis perniagaan yang diperiksa di kawasan Pekan Botition, Sugut serta Sapi Nangoh dekat sini.

Selain itu, katanya pihaknya menyerahkan satu notis kepada peniaga kedai milik warga asing yang didakwa menjual paku pada harga 20 sen sebatang di Pekan Botition dan memberi maklum balas dalam tempoh dua hari kepada KPDN.

“KPDN Cawangan Sandakan mengalu-alukan sebarang maklumat dan aduan berkaitan salah laku peniaga. Orang ramai juga dinasihatkan membuat aduan segera jika melihat harga barangan mahal dan tidak menularkan menerusi media sosial kerana dikhuatiri bukti dilupuskan,” katanya.
Pengguna boleh menyalurkan aduan dengan menghubungi talian WhatsApp 019-279 4317 atau 019-848 8000 atau Portal Aduan: http://eaduan.kpdn.gov.my. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top