LABUAN: Sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan merampas sebanyak 1,134 coklat tertera “No Palm Oil” atau “Palm Oil Free” di dua premis berasingan, di sini, pada Isnin.
KPDN Labuan dalam kenyataannya di Facebook berkata, pasukan penguat kuasanya berjaya mengesan pasar raya yang menjual produk tersebut dalam pemeriksaan yang dijalankan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM23,704.90,” kata kenyataan itu.
Kes disiasat di bawah Peraturan-peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-barang Minyak Sawit) 2022 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM250,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.