KPDN Gagalkan Penyelewengan Minyak Masak Bersubsidi Di Sandakan

rampas-minyak.jpg

Kredit foto: FB SANDAKANfm Bersamamu

Kongsi Bersama

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi dengan rampasan 4,400 kilogram barang kawalan itu dalam serbuan di Batu 9 dekat sini, petang Isnin.

Ketua Cawangan KPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata pada awalnya, pasukan penguat kuasa tidak menjumpai tempat kegiatan penyelewengan minyak masak itu, namun setelah mengekori beberapa lori, pasukan berkenaan mendapati tempat yang digunakan berdekatan dengan dua tempat pelupusan sampah.

“Kami percaya selepas mereka (sindiket) menggunting (minyak masak peket bersubsidi), kotak dan plastik itu akan dibakar bagi menghapuskan bukti,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kegiatan itu di sebuah rumah dekat sini kelmarin.

Azdy Zukkry berkata serbuan pada 2 petang itu menahan seorang lelaki tempatan berusia 50-an ketika leka menggunting peket minyak masak bersubsidi itu.

Beliau berkata selain minyak masak, pasukan penguat kuasa turut merampas dua pam dan satu hos getah dianggar bernilai RM16,950, yang disyaki digunakan untuk kegiatan itu.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan mana-mana individu atau kumpulan yang mahu berniaga minyak masak bersubsidi dinasihatkan supaya berjumpa dengan pihak KPDN yang sedia membantu menjalankan perniagaan itu dengan betul.

“Ia melibatkan hak orang yang susah, terutama di kawasan kampung. Orang kampung susah mahu dapatkan bekalan, mereka (sindiket) pula dengan senang menggunting hak orang kampung (minyak masak peket bersubsidi) di sini (tempat kegiatan),” katanya. – BERNAMA

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top