KPDN Cawangan Sandakan rampas 1,300 liter petrol bersubsidi diseleweng, tahan seorang lelaki

petrol.jpg
Kongsi Bersama

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak petrol bersubsidi menerusi rampasan 1,300 liter petrol di stor haram di Jalan Segaliud dekat sini, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, KPDN Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John berkata serbuah dilakukan pada jam 5.30 petang dan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM50,065 termasuk sebuah lori berkapasiti tiga tan selain peralatan seperti hos getah dan pam.

“Seorang lelaki warga tempatan berusia lebih kurang 60 tahun yang dipercayai bertanggungjawab di lokasi serbuan turut ditahan bagi tujuan membantu siasatan.

“Serbuan ini adalah hasil aduan awam yang diterima oleh Pejabat KPDN Cawangan Sandakan dan siasatan awal mendapati premis tersebut tidak mempunyai kebenaran dan sebarang lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 21 dan Seksyen 20(1) di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan dan menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

Sementara itu, Azdy berkata sejak 1 Januari hingga 5 Oktober tahun ini, pihaknya telah mengambil tindakan sebanyak 148 kes dibawah pelbagai undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM2.6 juta.

Katanya daripada jumlah itu, 51 kes dihasilkan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961, 17 kes (Akta Timbang Dan Sukat) dan 80 kes di (Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011).

Beliau berkata sebanyak 135 aduan daripada pengguna telah diterima oleh KPDN Cawangan Sandakan sejak 1 Januari hingga 5 Oktober dengan 133 aduan (98.51 peratus) aduan telah diselesaikan manakala dua (1.48 peratus) aduan lagi masih dalam siasatan.- SNT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top