KPDN catat RM3.2 juta rampasan dalam pemeriksaan 24,636 premis seluruh Sabah

KPDN-Sabah.jpg

Zulfamy semasa memeriksa bekalan bawang di salah sebuah premis.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah berjaya mencatatkan nilai rampasan lebih RM3.2 juta membabitkan pelbagai kesalahan yang direkodkan sejak Januari sehingga kelmarin.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDN Sabah Zulfamy Mat Udi berkata, daripada jumlah itu sebanyak 407 kes berjaya dihasilkan menerusi operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan di negeri ini.

“Dari segi tindakan kompaun, KPDN Sabah mengutip RM47,900 dengan anggaran nilai sitaan atau rampasan sebanyak RM3,225,998.11.

“Kompaun dan nilai rampasan ini adalah hasil pemeriksaan terhadap 24,636 premis seluruh Sabah sejak 1 Januari hingga 28 Mei,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Sementara itu katanya, KPDN mewartakan lapan jenis barangan menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan 2024 yang berkuat kuasa 27 Mei sehingga 2 Jun depan.

Katanya, tempoh pelaksanaan adalah selama tujuh hari iaitu selama tiga hari sebelum hari perayaan, dua hari pada hari perayaan dan dua hari selepas hari perayaan.

“Sebanyak lapan jenis barangan diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan 2024 iaitu kepak ayam, daging kerbau import India kecuali daging batang pinang, bawang merah kecil (India), bawang putih (China), cili kering kerinting, khinzir hidup, daging khinzir (perut) dan daging khinzir (daging dan lemak).

“SHMMP Pesta Kaamatan 2024 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat terhadap peringkat pemborong dan peruncit.

“Semakan harga boleh dibuat melalui laman sesawang KPDN di https://www.kpdn.gov.my,” katanya.

Dalam pada itu katanya, skim ini dikuatkuasakan sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan sepanjang musim perayaan Pesta Kaamatan serta memastikan bekalannya tetap ada di pasaran.

Beliau berkata, pelaksanaan skim ini juga sebahagian dari keprihatinan kerajaan untuk menstabilkan harga ketika permintaan dijangka meningkat bagi membolehkan rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan budaya menikmati skim ini dalam keadaan ceria dan harmoni. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top