Kotor, tiada suntikan anti-tifoid: Tiga premis makanan diarah tutup

tak-bersih.jpg

Pasukan penguat kuasa menjalankan pemeriksaan di salah sebuah premis makanan.

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengarahkan tiga premis makanan ditutup dalam operasi penguatkuasaan Akta Makanan 1983 yang diadakan di Anjung Selera, Likas, di sini Khamis lalu.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Asits Sanna berkata, arahan dikeluarkan selepas pemilik gagal memastikan premis berada dalam keadaan yang bersih dan pengendali makanan tidak mempunyai kursus pengendalian makanan atau suntikan anti-tifoid sepertimana yang dikehendaki mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Operasi yang melibatkan 22 pegawai penguat kuasa serta kakitangan daripada Unit Inspektorat, PKK Kota Kinabalu itu juga mengeluarkan empat notis kompaun mengikut Seksyen 32B daripada 14 premis yang diperiksa,” katanya.

Beliau berkata, operasi ini dijalankan bagi memastikan semua premis makanan di kawasan Anjung Selera, Likas memenuhi keperluan kebersihan premis seperti yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Operasi ini termasuklah pemeriksaan tempat penyediaan dan penyimpanan makanan, kebersihan pengendali makananntermasuklah status vaksinasi anti-tifoid, rekod menghadiri kursus pengendalian makanan, pemeriksaan Kesihatan dan pakaian semasa mengendalikan makanan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk memilih premis makanan yang bersih dan sentiasa peka dalam aspek keselamatan makanan.

“Semua pengendali makanan juga turut diingatkan untuk mengamalkan penyediaan makanan yang bersih dan selamat kepada orang ramai.

“Sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan berkaitan isu keselamatan makanan, orang ramai boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

 

Berita asal: Utusan Borneo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top