KOTA MARUDU: Sebuah pawagam moden tercanggih akan dibina di Kota Marudu, menjadikannya pawagam pertama di Sabah Utara!
10 Star Cinemas Sdn Bhd, anak syarikat Melewar Industrial Group Berhad, membawa pawagam itu ke 1 Avenue Commercial Centre (1ACC) dan dijadualkan mula beroperasi pada November 2022.
Dengan kos RM5 juta, pawagam moden pertama dalam sejarah Kota Marudu akan menjadi mercu tanda pembangunan industri kreatif di daerah itu.
Ahli parlimen Kota Marudu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili pada Ahad menyaksikan majlis menandatangani pawagam antara Ketua Pegawai Eksekutif WK Majujaya Aidah Wong dan Ketua Pegawai Eksekutif 10 Star Cinemas Onn Norshal Hamzah.
WK Majujaya merupakan pihak yang bertanggungjawab membangunkan Residensi PR1MA dan 1 Avenue Commercial Centre.
10 Star Cinemas Sdn Bhd adalah syarikat yang bertanggungjawab membangunkan pawagam di Malaysia dengan berkonsepkan komuniti.
Sebelum ini, syarikat terbabit berjaya melebarkan sayap perniagaan ke Tawau dan Sandakan dengan pembukaan cawangan. Syarikat terbabit mensasarkan sejumlah enam pawagam yang akan beroperasi di Sabah pada penghujung 2022 dan 18 pawagam pada akhir 2023.
Pawagam di Kota Marudu akan menayangkan filem tempatan dan barat. Paling penting, pawagam ini akan dilengkapi dengan sistem tayangan laser terkini – salah satu yang pertama di Malaysia – dan sistem bunyi digital terkemuka dunia dari India!
Dengan teknologi ini, penduduk Kota Marudu boleh merasai pengalaman menonton filem pada tahap yang luar biasa – setanding dengan tayangan pawagam komersial sedia ada.
Setiap satu daripada enam dewan tayangan akan menawarkan 70 tempat duduk, menjadikan jumlah keseluruhan 420 tempat duduk.