KOTA KINABALU: Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong mendakwa bandar raya ini menghadapi kekurangan gula ketara yang membimbangkan pengguna dan perniagaan tempatan.
Daily Express dalam laporannya memetik ADUN Tanjung Aru itu sebagai berkata ramai pemilik restoran menyuarakan kebimbangan mereka selepas bergelut mendapatkan bekalan gula mencukupi bagi operasi harian mereka.
“Keadaan begitu teruk. Pek standard gula putih 1kg yang biasanya berharga RM2.85 kini jarang didapati.
“Apabila tersedia, ia dijual pada harga RM4.50 di kedai Pakistan. Ini lebih daripada sekadar isu bekalan, ia mengenai mata pencarian perniagaan tempatan,” katanya.
“Keadaan itu memberi kesan ekonomi tempatan, khasnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang banyak bergantung kepada gula untuk produk mereka,” katanya lagi.
Wong menggesa langkah segera untuk menstabilkan bekalan gula di Kota Kinabalu dan melindungi kepentingan perniagaan serta pengguna tempatan.
“Keperluan untuk penyelesaian cepat dan cekap penting kerana masyarakat bergantung kepada bekalan barang keperluan ini. Kami berharap kerajaan akan campur tangan dan menangani krisis ini dengan berkesan.”