KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul dan empat Ahli Parlimen di Sabah dalam usaha mengosongkan kerusi mereka.
Bersatu pada April lalu memfailkan tindakan undang-undang untuk memohon supaya Yang Dipertua Dewan Rakyat mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah.
Parti itu yang bertindak sebagai pemohon menamakan Johari serta empat Ahli Parlimen terlibat iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden pertama hingga kelima.
Dalam keputusannya hari ini Hakim Amarjeet Singh berkata, Perlembagaan Persekutuan melarang mahkamah meneliti perkara berbangkit dalam Parlimen, termasuk keputusan speaker Dewan Rakyat.