Korban Ajaran Sesat Berlapar Sampai Mati: 90 Mayat Ditemui, Ramai Masih Hilang

Paul-ajaran-sesat.jpg

Kiri: Paul Mackenzie Nthenge. Kanan: Sebahagian daripada mayat-mayat yang ditemui.

Kongsi Bersama

SHAKAHOLA: Angka kematian di sebuah ladang di Kenya yang dimiliki oleh seorang ketua ajaran sesat yang mengarahkan pengikutnya supaya berlapar jika mahu bertemu Tuhan telah mencecah 90 orang berikutan penemuan 17 lagi mayat.

Laporan terkini menunjukkan pihak polis berjaya menyelamatkan 34 orang pengikut ajaran itu yang sedang kelaparan.

Pada masa yang sama Persatuan Palang Merah Kenya dalam kenyataannya menyebut 213 masih hilang.

Menurut pihak polis, sebahagian besar mangsa ajaran sesat Gereja Good News International itu adalah kanak-kanak dan operasi mencari baki mayat dihentikan sementara kerana semua rumah mayat sudah penuh.

Penemuan kubur besar di hutan Shakahola dekat pekan pesisir pantai Malindi mengejutkan seluruh Kenya, selepas ketua ajaran sesat itu, Paul Mackenzie Nthenge, dituduh memaksa pengikutnya berlapar sehingga mati sebagai satu-satunya cara menemui Tuhan sebelum menguburkan mereka di kubur cetek yang tersebar di seluruh negerinya. Dia ditahan selepas polis menyerbu kawasan ladang itu awal bulan ini, dan dia masih dalam tahanan polis sementara menunggu pendakwaan di mahkamah.

Menteri Dalam Negeri Kithure Kindiki berkata pasukan keselamatan akan “meningkatkan misi mencari dan menyelamat untuk menyelamatkan seramai mungkin nyawa”.

“Keseluruhan tanah seluas 800 ekar (320 hektar) yang merupakan sebahagian daripada ladang Shakahola dengan ini diisytiharkan sebagai zon operasi,” kata Kindiki ketika melawat kawasan itu.

Menurut beliau belum dapat dipastikan berapa ramai sebenarnya yang terbunuh atau berapa banyak kubur yang ada tetapi jenayah yang dilakukan sudah cukup bagi mendakwa Nthenge atas tuduhan keganasan.

Menteri itu turut mendedahkan bahawa terdapat beberapa orang yang diberi tugas memastikan pengikut ajaran sesat itu berlapar sehingga mati sedangkan mereka sendiri boleh makan dan minum, atas alasan kononnya mereka mempersiapkan pengikut terbabit untuk menemui Tuhan.

Menurut tiga sumber berbeza, majoriti mangsa adalah kanak-kanak, yang dipaksa berlapar oleh ibu bapa mereka sendiri, sekali gus membuktikan betapa kejamnya amalan kumpulan itu.

Seorang pegawai Jabatan Pengarah Siasatan Jenayah (DCI) turut mengesahkan bahawa lebih separuh mangsa adalah kanak-kanak, diikuti wanita.

Pengarah Eksekutif Haki Afrika, Hussein Khalid, iaitu kumpulan hak asasi manusia yang mendedahkan kumpulan ajaran sesat itu kepada polis, memberitahu AFP bahawa kumpulan itu menetapkan kanak-kanak harus berlapar dulu, diikuti wanita dan lelaki.

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top