KOPI ‘O’ KAW: Syabas Bung!

bung-1.jpg
Kongsi Bersama

 

  1. Sehari dua ini panas dengan cerita-cerita politik di Semenanjung. Lebih tepat lagi kisah cinta tiga segi UMNO-PAS-BERSATU.
  2. Bukan rahsia lagi UMNO Semenanjung sekarang ini berpecah empat. Satu kluster, yang bermentaliti ‘big brother’ menganggap BERSATU sebagai lawan yang mesti ditinggalkan, satu lagi yang memihak pada BERSATU atas nama perpaduan Melayu/Islam, satu kluster lalang yang main kedua-dua kolam dan satu lagi kluster yang apa pun okey belaka.
  3. Yang nampak garang ialah kluster pertama. Menyergah, mengugut menggertak hampir setiap hari terutama mengenai pengagihan kerusi PRU akan datang. Pada masa yang sama mereka juga mengacah-acah untuk menjalinkan kerjasama dengan PKR dan DAP.
  4. Dan dua tiga hari ini garang mereka bertambah-tambah. Sehingga sampai ke peringkat nak ‘langgar’ Presiden BERSATU, yang juga perdana menteri di Parlimen Pagoh.
  5. Di tengah-tengah bahang politik Semenanjung itulah tiba-tiba Pengerusi Perhubungan UMNO dan BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin muncul dengan penawarnya.
  6. Bung membawa pendirian berbeza daripada kluster ‘big brother’. Dia mempamerkan peribadi semula jadi orang Sabah yang penuh toleran.
  7. Kata Bung, UMNO bersedia bertanding antara 10 hingga 12 kerusi Parlimen sahaja dalam PRU akan datang berbanding 14 jkerusi pada PRU lepas. Tujuannya untuk memberi peluang kepada rakan-rakan lain dalam Gabungan Rakyat Sabah.
  8. Bung memberi gambaran bahawa lebih baik bertanding di kerusi-kerusi yang pasti menang sahaja daripada bertanding banyak kerusi tetapi banyak juga yang tak menang.
  9. Pendirian Bung itu jauh berbeza dengan kluster ‘big brother’ yang nampaknya berpegang pada prinsip tak menang pun tak apa asalkan boleh lepaskan geram.
  10. Bung bukanlah pemimpin yang suka melaung tentang perpaduan Melayu/Islam. Jarang dengar dia beretorik kalau nak dibandingkan dengan puak satu lagi,  yang di depan Melayu dan di depan Islam merekalah wira, tapi di dalam gelap cuba berkucup mulut dengan kumpulan yang mereka sendiri pernah labelkan sebagai penentang agenda Melayu dan Islam.
  11. Orang macam Bung sepatutnya berada di barisan hadapan dalam rundingan-rundingan yang melibatkan perpaduan. Dia tahu di mana patut berkeras dan di mana tidak.
  12. Apa-apa pun syabas kepada TKM Sabah, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan itu. Langkahnya tentulah menjadikan Sabah negeri yang lebih disegani kerana perpaduan dan toleransinya yang diwarisi sejak lama. Dengan itu tidaklah ia dikenali semata-mata sebagai antara negeri paling miskin di Malaysia, imej yang dikendongnya, juga sejak sekian lama.

 

Oleh: Tulus Budiman

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top