Cerita dari Kedah ni.
Malam tadi, di Pokok Ceri bersembang sekejap dengan seorang pemimpin Umno bahagian. Bukan ketuanya, tapi pemimpin yang ada dalam hirarki la juga.
Untuk makluman, Pokok Ceri ni nama lain bagi sebuah restoran mamak yang popular di Alor Setar. Orang Alor Setar kalau tak tahu di mana pokok cari ni, samalah macam orang KK yang tak tahu di mana Restoran Pak Mus. Boleh ‘gugur’ kerakyatan!
Macam kebanyakan orang lain, kawan saya itu pun tumpang pening bila bercakap bab suara akar umbi yang mahu Umno putuskan hubungan dengan Bersatu.
“Akar umbi yang mana? Aku dan ramai lagi kawan-kawan tak la suka sangat dengan Bersatu. Tapi kalau boleh biarlah kita terus bersama. Seronok tengok orang Melayu, orang Islam boleh duduk semeja. Yang tak kena di sana sini tu, pelan-pelan la betulkan. Laki bini pun ambil masa nak bina persefahaman,” begitu katanya,
Tetapi tajuk perbualan itu tak berpanjangan. Mungkin sama-sama jemu bercakap soal perpaduan Melayu/Islam sebab seperti kelazimannya kita yang di bawah sekadar boleh bercakap, pembuat keputusan tetap mereka yang di atas.
Jadi kami bercakap tentang prospek UMNO di Kedah pada PRU akan datang. Saya agak lama berada jauh dari gelanggang politik Kedah, bercampur gaul pun dengan orang biasa-biasa yang kebanyakannya tiada kaitan dengan politik. Dengan itu banyak benda yang saya dah tahu.
Dia ternyata agak bimbang.
“Kampung asal aku sebagai contoh, suatu masa dulu solid orang Umno. Menjelang PRU 2008 ada tujuh orang yang sokong pembangkang. Jumlah itu kian meningkat, menjadi 13 pada PRU 2013 dan bertambah sekali ganda pada PRU 2018.
“Yang isi borang Umno pun ada, bukan tak ada…tapi dua tiga orang sana, dua tiga orang sini. Itu pun sebahagiannya sebab bapa suruh atau sepupu-sepapat tolong isikan,” katanya.
Katanya lagi, di bahagiannya sendiri pun macam-macam langkah diambil untuk menambah keahlian. Tetapi responnya tak sama dengan lima belas atau dua puluh tahun lepas. Yang muda-muda sekarang ni lebih cenderung nak duduk atas pagar. Yang anti-establishment pun ramai.
“Banyak dah serik dengan PH hari tu, Tapi mereka tak datang pada Umno. Masuk PAS tidak, masuk Bersatu pun tidak. Mereka tunggu perhati dari atas pagar. Jenis tu yang aku jumpa di mana-mana.”
“Jadi hang rasa Umno Kedah makin lemah?” saya mengumpan.
“Dak juga. Cuma agak slow kalau nak banding zaman kita muda-muda dulu. Tak ada gelombang, yang ada cuma alun.”
“Dah tu, kalau Umno turun gelanggang secara solo PRU 15 ni agak-agak boleh menang ka?”
“Tak tau la. Setakat satu kerusi aku jamin memang dalam tangan. DUN Sungai Tiang, Yang lain tak berani nak kata,” jawabnya,
Disebabkan malam tadi malam Jumaat, kami pun pendekkan perbualan…
-ADI ALHADI