- Bekas perdana menteri keempat dan ketujuh, yang mungkin masih mengharap menjadi yang kesembilan, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menafikan dakwaan bahawa Perikatan Nasional (PN) sedang mentadbir negara ini sebagai sebuah kerajaan Melayu Islam.
Sebaliknya kata bekas perdana menteri itu dakwaan tersebut merupakan suatu pembohongan kerana PN dibangunkan dengan sokongan beberapa ahli politik bukan Melayu atau bukan Islam.
Malah, katanya semasa menyampaikan ucapan di majlis Amanat Perjuangan anjuran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Shah Alam, tanpa sokongan ahli parlimen bukan Melayu dan bukan Islam itu, kerajaan PN akan runtuh.
Betullah kata orang tua-tua, mana-mana manusia pun kalau dah terlebih sangat pandainya, lambat-laun dia akan pening. Tambahan pula bila umur dah melepasi pucuk kelapa, makin bertambah-tambahlah peningnya.
Sekadar nak mengingatkan Mahathir, pada akhir September 2001, dia dengan lantangnya mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam. Tindakan yang mencetuskan kontroversi sejurus, terutama di kalangan pembangkang bukan Islam yang kekal berpendapat Malaysia negara sekular. Tetapi Mahathir mempertahankan kenyataannya. Berkali-kali.
Kalau nak kira Malaysia waktu itu, sebelum itu dan selepas itu, turut didiami hampir separuh oleh penduduk bukan Islam. Jadi kalau nak ikut logik yang Mahathir guna semalam, Malaysia ketika itu, sebelum itu dan selepas itu dah tentu la tak layak digelar negara Islam. Malah sampai bila-bila pun nampak gayanya tak boleh nak jadi negara Islam la.
UMNO parti Melayu. Mahathir sendiri semasa masih bersama UMNO dan menerajuinya entah berapa ribu juta kali menyebut perkataan itu. Tetapi dalam UMNO ada ramai ahli bukan Melayu. Siam ada, orang Asal ada, kalau di Sabah ini pula pelbagai etnik bukan Melayu yang membayar yuran parti itu setiap tahun. Lagi sekali, jika diikut logik Mahathir, UMNO tak layak disebut parti Melayu.
Jadi tak payahlah tulis panjang-panjang. Kenyataannya mudah; sama ada Mahathir keliru atau memang dia masih terbawa-bawa dengan perangai lamanya yang suka mengelirukan.
Cuma satu perkara yang perlu disebut, kalau pun PN bukan kerajaan Melayu atau kerajaan Islam, atau bukan kerajaan Melayu Islam, ia sekurang-kurangnya tak perlu nak bertanya DAP dulu sebelum nak buat sesuatu.
TAMAR JELES