Koperasi Usahawan Balimbang Semporna Jalankan Perniagaan ‘Teksi Laut’

koperasi-teksi-laut.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Koperasi Usahawan Balimbang Semporna Berhad memulakan usaha perniagaan yang bukan sahaja menguntungkan ahlinya tetapi turut mempromosikan pulau-pulau di daerah ini kepada pelancong.

Perniagaan koperasi terbabit menawarkan pengangkutan yang dipanggil “RiLautCab” ke dan dari pulau-pulau di Semporna kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

Teksi laut itu dirasmikan oleh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (MCC) Zazali Haron di jeti awam Kampung Balimbang di Semporna pada Khamis.

Koperasi Usahawan Balimbang Semporna Berhad baru sahaja didaftarkan pada 19 Februari tahun ini dan walaupun beroperasi selama 10 bulan dalam tempoh pandemik, ia telah berjaya memiliki modal saham RM364,900 dan nilai aset RM288,000 dengan kekuatan hanya 80 ahli.

Dengan keazaman yang tinggi, pihak koperasi telah berjaya membeli empat buah bot yang digunakan oleh ahli untuk menjalankan aktiviti pengangkutan teksi laut.

Konsep perniagaan yang diperkenalkan oleh koperasi ini ialah pendekatan mengenepikan simpanan harian dengan objektif untuk memastikan setiap ahli memiliki bot untuk digunakan mencari rezeki.

Semangat yang ditunjukkan oleh koperasi ini wajar dicontohi oleh koperasi lain bagi memastikan objektif penubuhan koperasi mencapai matlamat sebenar.

MCC Sabah berharap gerakan koperasi di Sabah khususnya, terus berkembang dan berusaha mencari peluang perniagaan yang boleh menambah pendapatan mereka.

Ia juga berharap koperasi di Sabah terus cemerlang dalam mencapai kejayaan selaras dengan ‘Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025’ ke arah pembangunan koperasi yang progresif dan mampan.

Turut hadir pada program itu ialah Pengarah MCC Sabah Matias Kundapin dan Pengerusi Koperasi Usahawan Balimbang Semporna Berhad Norbiha Kasmuri. – Borneo Post

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top