KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Koperasi Star Sabah Berhad dengan Sabah China Chamber of Commerce (SCCC); dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Sabah Quality Seafood Sdn Bhd (SQS) anak syarikat Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) dengan Koperasi Star Sabah Berhad di Sokid Villa pada Selasa.
MoA antara Koperasi Star Sabah dan SQS/SAFMA menjadikan SQS SAFMA sebagai pembekal makanan laut, dan Koperasi Star Sabah sebagai peruncit dan pengedar di daerah Tambunan dan daerah-daerah lain di seluruh Sabah.
Pengerusi Koperasi Star Sabah Berhad, Datuk Dr Saiman Sandah berkata koperasi itu mengalu-alukan mereka yang berminat menjadi “sub-distributor” di daerah Tambuan dan di setiap daerah di kawasan Pedalaman Atas, dengan menghubungi koperasi di talian 0109478998 untuk keterangan lanjut.
Sementara itu, antara kandungan MoU Koperasi Star Sabah dengan SCCC ialah memperkenalkan, membangun dan menyediakan kursus penanaman kepada para petani di Sabah; bekerjasama dalam mencari dan meneroka peluang-peluang untuk membangunkan pertanian dan industri berasaskan makanan di Sabah; dan menjalankan perniagaan berfaedah kepada Kerajaan Sabah dan masyarakat tempatan.
Tempoh setahun diberikan untuk menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA), namun MoA boleh berlaku lebih awal tertakluk kepada kelancaran pengurusan usaha-usaha kolaborasi membangun pertanian dan industri berasaskan makanan oleh kedua-dua pihak.
Sandah berkata usaha itu lebih menumpu dan menekankan kepada keterjaminan makanan.
Sementara itu, Kitingan berkata isu kemiskinan merupakan tema perbincangan Institute for Development Studies (IDS) bersama ahli-ahli parlimen dan agensi-agensi kerajaan baru-baru ini, justetru usaha dalam MoU antara Koperasi Star Sabah dengan Sabah China Chambers of Commerce itu merupakan salah satu kaedah untuk mengatasi kemiskinan di Sabah.
Beliau berharap melalui MoU itu tanah-tanah dapat diusahakan supaya dapat mengeluarkan hasil, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan menggerakkan potensi-potensi keusahawanan yang lain.
Katanya, di sepanjang alur jaringan itu, pembekalan menjadi amat penting dalam penghasilan dan pembinaan pelbagai peluang-peluang lain. Rangkaian tersebut akan merangkumi China dan negara-negara luar.
Selain itu beliau berharap pemprosesan produk-produk berasaskan halia juga akan dapat direalisasikan secepat mungkin memandangkan halia Tambunan dikategorikan sebagai berkualiti tinggi yang akan dengan segera mendapat permintaan tinggi di pasaran global, sekaligus menaikkan pendapatan pengusaha halia tempatan.
Sumber: Jeffrey G. Kitingan Page