KOPEKS Isytihar Dividen 12 Peratus Bagi Tahun Kewangan 2020

kopeks.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) mengumumkan pengagihan dividen tunai bagi tahun kewangan tahun 2020 kepada 7,135 anggotanya bermula 25 Oktober 2021 (Isnin) sebanyak 12 peratus iaitu dengan agihan 1 peratus atas yuran dan 11 peratus atas saham menjadikan dividen keseluruhan berjumlah RM705,575.

Agihan berdasarkan pendapatan teraudit tahun 2020 sebanyak RM9,261,508 dan untung bersih sebanyak RM2,397,685 yang tertinggi sejak tahun 2015.

Pentadbir KOPEKS, Datuk Kastian Haji Dula memaklumkan ini dalam kenyataan medianya hari ini.

Beliau berkata, ini adalah agihan kali kedua pada tahun 2021 dan merupakan sejarah KOPEKS yang mencatatkan agihan pembayaran dividen dua kali dalam setahun.

“Bayaran dividen KOPEKS kepada anggota akan bermula pada 25 Oktober 2021,” ujarnya.

Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), beliau memaklumkan bahawa pengagihan bayaran dividen akan dibuat secara online melalui kaedah pengkreditan terus ke akaun bank anggota.

Para anggota digalakkan untuk berhubung dengan KOPEKS di talian 088-245558 atau 010-2295730 bagi menyerahkan atau kemaskini nombor akaun bank masing-masing.

Katanya pembayaran dividen akan bermula pada 25 Oktober 2021 sehingga 24 November 2021.

Tambahnya, bagi anggota yang tidak memohon untuk pengkreditan dividen ke dalam akaun selepas 25 November 2021, dividen akan dikreditkan terus ke dalam akaun Yuran simpanan terkumpul anggota.

Kastian juga merayu kepada mana-mana anggota yang mempunyai akaun pinjaman tertunggak di KOPEKS agar memberikan kerjasama dan menyelesaikannya dengan segera bagi membantu memulihkan dan memantapkan aliran kewangan KOPEKS.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada para anggota yang memberikan sokongan kepada KOPEKS selama ini. KOPEKS ditubuhkan pada tahun 1963 dan keahlian terbuka kepada semua penjawat awam di Negeri Sabah termasuk jabatan persekutuan.

Oleh itu, beliau berharap penjawat awam daripada agensi dan jabatan kerajaan persekutuan dan negeri menyertai KOPEKS khususnya mereka yang baharu memasuki perkhidmatan awam kerana manfaat KOPEKS yang memberikan perlindungan insuran kemalangan diri dan manfaat Khairat Kematian sebanyak RM4,000 jika berlaku musibah. – Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top