Oleh: AMIRUDDIN MOHD ROSDI
KOTA KINABALU: Konvensyen PAS Sabah yang akan diadakan pada 30 Disember ini menghimpunkan 500 orang pimpinan dari semua kawasan.
Pesuruhjaya PAS negeri, Dr. Aliakbar Gulasan berkata, pembentangan daripada pimpinan PAS Pusat berkaitan gerak kerja memasyarakatkan PAS di Sabah dengan pendekatan adil, prihatin dan berkebajikan akan menjadi agenda utama dalam konvensyen kali ini.
Menurutnya, PAS sebagai sebuah parti siasah (politik), tarbiah dan dakwah sentiasa mengutamakan agenda kebajikan dan kesejahteraan rakyat merentasi sempadan kaum, agama dan bangsa.
Dr. Aliakbar yang juga ADUN Sabah (Dilantik) menegaskan bahawa PAS akan terus membawa pendekatan adil, prihatin dan berkebajikan pada setiap masa tanpa menunggu musim pilihan raya sahaja.
Tetamu istimewa yang diundang dalam Konvensyen PAS Sabah nanti ialah AJK PAS Pusat, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin dan Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil.